Kenapa bila rasa seram, bulu roma kita meremang?

Tengah berada di kawasan sunyi sepi, malam gelita atau di tempat menyeramkan, tiba-tiba bulu roma kita meremang. Pernah rasa begitu?

Bulu roma tiba-tiba berdiri sebab rasa seram ni bukan saja berlaku waktu malam, tetapi bila-bila masa boleh berlaku. Bila jadi begitu, selalunya ia dikaitkan dengan hantu atau ada entiti ghaib berdekatan kita.

Dalam dunia perubatan sains, bulu roma berdiri atau meremang ini dikenali sebagai ‘piloerection’. Reaksi ini disebabkan oleh tindak balas refleks pilomotor. Bila otak mengaktifkan mode tersebut, kelenjar yang terletak di atas ginjal akan mengeluarkan hormon adrenalin. Tanda-tanda pelepasan adrenalin termasuklah mata berair, berpeluh, tangan menggigil, tekanan darah meningkat, jantung berdegup laju dan terasa seperti ada ‘kupu-kupu’ di perut.

Akibat pelepasan hormon tersebut, otot-otot kecil yang dikenali sebagai ‘arrector pili’ di dasar folikel rambut pada kulit mulai menguncup. Penguncupan sel-sel otot inilah yang menyebabkan rerambut halus di permukaan kulit menjadi berdiri.

Para ilmuwan menyebut bulu roma menegak ini sebagai ‘turkeybumps’ atau ‘duckbumps’. Sebabnya, bila bulu roma berdiri, permukaan kulit kelihatan berbintik-bintik menonjol di tempat rambut tumbuh dan ia mirip dengan kulit unggas selepas bulunya dicabut.

Ia merupakan fenomena fisiologi yang diwarisi nenek moyang sejak zaman dahulu dan dialami oleh semua mamalia. Ia biasanya berlaku untuk tempoh sekejap dan hilang beberapa saat kemudian. Hal ini adalah fitrah atau ketetapan bagi semua mamalia termasuk manusia. Sebab itu semua orang biasa mengalami ‘meremang’ ini, sama seperti saat kita berpeluh atau bersin.

Bila kita meremang, rerambut di sekitar lengan, tengkuk dan leher biasanya akan berdiri. Reaksi semula jadi ini juga dapat dirasakan pada bahagian tubuh lain seperti tangan, kaki dan, perut. Ia boleh dirasakan secara tiba-tiba tanpa alasan yang jelas.

Kepercayaan kita biasanya jika bulu roma berdiri, bermaksud ada kehadiran makhluk halus di sekitar kita yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar manusia.

Dari sudut sains, terdapat banyak sebab mengapa bulu roma berdiri secara tiba-tiba. Sebuah artikel yang ditulis oleh Eric Sonstroem dari Indiana University, menjelaskan bahawa meremang adalah satu tindak balas primitif yang tercetus daripada sistem limbik otak. Setiap orang memiliki reaksi yang berbeza-beza, bergantung kepada situasi dan persekitaran.

Antara pemacu kepada bulu roma berdiri ialah bila mana badan berasa sejuk. Ketika udara dingin mengenai tubuh, rerambut di permukaan kulit akan tegak berdiri.

Seseorang itu juga cenderung untuk merasakan bulu roma berdiri semasa mengalami keadaan emosi sama ada gembira mahupun sedih. Apabila mengalami emosi yang melampau, tubuh akan bertindak balas dengan pelbagai cara. Pernafasan menjadi lebih laju dan berlaku peningkatan aktiviti elektrik di dalam otot di bawah kulit. Dan respons ini boleh muncul secara serentak untuk mencetuskan rasa meremang bulu roma.

Ada juga kajian menunjukkan bahawa melihat rangsangan sosial seperti perbualan dalam filem, mendengar sesuatu seperti lagu kebangsaan selepas memenangi perlawanan sukan atau hanya menonton filem seram di televisyen, rerambut halus di permukaan kulit boleh menjadi berdiri. Bahkan, hanya dengan mendengar lagu-lagu kegemaran dan mengenang kejadian menakutkan juga boleh mencetuskan ‘goosebumps’.

Refleks yang sama juga akan turut dirasai bila mana berada dalam situasi bahaya atau mengancam nyawa.

Sama ada ia menakutkan, mengharukan, membanggakan atau apa saja emosi yang berlebihan, juga boleh membuat bulu roma berdiri. Bermakna, meremang bukan hanya berlaku kerana kita berasa takut atau seram semata-mata.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*