Pemuda cium, raba anak jiran umur 8 tahun dipenjara empat tahun, satu sebatan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Sungai Besi pada 2022.

Harian Metro melaporkan Mohamad Zulkhairi Rosli, 22, menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Kafli Che Ali yang memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara mulai tarikh tangkapan pada 3 Ogos 2023.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal, termasuk mencium pipi seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun empat bulan (ketika kejadian) bagi tujuan seksual di kawasan tangga tingkat 11 sebuah PPR di Sungai Besi pada 3.30 petang 25 Jun 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa berusia 28 tahun mendapati anaknya masuk ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa dan ketakutan.

Apabila ditanya, mangsa memberitahu seorang lelaki memanggilnya ke tangga dan terus mencium pipi serta merabanya. Mangsa yang terkejut dan takut terus menolak lelaki itu, sebelum melarikan diri.

Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan dan polis menahan lelaki itu di depan sebuah surau pada 3 Ogos 2023.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman penjara dan sebat sebagai pengajaran memandangkan mangsa berusia lapan tahun dan lelaki itu merayu dijatuhkan hukuman ringan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*