Kelakuan biadab Radzi di Dewan Rakyat tidak wajar dibiar, MP Putrajaya perlu digantung

Kelakuan biadab Radzi di Dewan Rakyat tidak wajar dibiar, MP Putrajaya perlu digantung.

Majlis Setiausaha-setiausaha Politik Kerajaan menuntut Radzi Jidin daripada Perikatan Nasional (PN) digantung tugas atas “kelakuan biadab” yang menyebabkannya diarah keluar Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Shamsul Iskandar Md Akin, meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memulakan usaha untuk menggantung Ahli Parlimen Putrajaya itu.

“Ini sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen. Tindakan biadab Radzi yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Radzi diarahkan keluar Dewan selepas membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan terlibat dalam pertikaman lidah dengan penyokong kerajaan. Sebagai protes, Ahli Parlimen PN turut meninggalkan Dewan.

Radzi berulang kali menuntut Anwar menarik balik kenyataan dibuat terhadap diri dan partinya, dan mengganggu penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat oleh perdana menteri.

Terdahulu, Anwar menafikan kerajaan campur tangan dalam keputusan peguam negara meminta pembebasan bersyarat Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi dihadapinya.

“Kamu boleh gelak Putrajaya. Kerana kamu buat perkara itu, masa pentadbiran kamu buat perkara itu,” katanya.

Shamsul menjelaskan Radzi salah tafsir istilah “Putrajaya” sebagai merujuk kepada beliau (Radzi) sedangkan Anwar sebenarnya merujuk kerajaan.

Shamsul berkata, jika Radzi masih tidak berpuas hati, beliau boleh membentangkan usul, bukan bersikap emosi dan biadab.

“Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas menteri kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*