Jangan buat tuduhan aib maruah, hanya mahkamah boleh putus qazaf

Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak sesekali menuduh kononnya seseorang berzina atau liwat tanpa bukti kukuh termasuk melibatkan pemimpin negara.

Nasihat itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar susulan tular dakwaan Ahli Parlimen berhubung isu itu.

“Saya menasihati masyarakat Islam secara keseluruhan tanpa merujuk kes spesifik yang tertentu, jangan sesekali buat tuduhan aib sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Serantau Kekeluargaan Islam 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, seperti peruntukan undang-undang sivil, kesalahan qazaf kelazimannya bermula dengan aduan dikemukakan kepada pihak berkuasa agama.

“Jika ada aduan kepada badan penguatkuasaan agama, maka siasatan boleh dijalankan dan kemudian baru mahkamah syariah dengar hujah oleh pendakwa syarie,” jelasnya.

Bagaimanapun ujarnya, hakim juga mendengar pembelaan daripada tertuduh dan selepas itu mahkamah boleh membuat keputusan sama ada berlaku kesalahan qazaf atau tidak.

Pada Selasa lalu, kekecohan berlaku di antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan jenayahnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*