Kecoh babi hutan tersesat masuk kedai serbaneka

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang menembak mati seekor babi hutan selepas haiwan itu melulu masuk sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Dato Ismail Hashim di sini, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Barat Daya, Kapten (PA) Salman Rahimi Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.15 malam sebelum empat anggota bergegas ke lokasi.

Hasil siasatan awal mendapati pekerja lelaki kedai serbaneka tersebut mengalami kecederaan ringan pada bahu kanan ketika cuba menyelamatkan diri dengan berlari keluar premis berkenaan sebaik babi hutan itu masuk.

Pelanggan yang berada dalam premis juga sempat menyelamatkan diri.

“Kita cuba untuk menangkap babi hutan namun saiznya besar serta keadaan badannya luka membuatkan haiwan itu lebih agresif.

“Susulan itu, kita menghubungi pihak Perhilitan bagi tindakan lanjut dan mereka tiba kira-kira jam 9.30 malam.

”Pihak Perhilitan kemudian memutuskan untuk menembak babi hutan yang dianggarkan seberat 80 kilogram itu kerana terlalu agresif dan bimbang ia membahayakan orang awam di kawasan berkenaan,” katanya hari ini.

Difahamkan, babi hutan tersebut sesat dan dipercayai mengalami kecederaan berdasarkan kesan darah dari luar kedai serbaneka tersebut sebelum melulu masuk premis itu.

Terdahulu, suasana sekitar kawasan perniagaan di Jalan Dato Ismail Hashim kecoh selepas orang ramai dikejutkan dengan kehadiran seekor babi hutan jantan.

Ini merupakan kali pertama kemunculan babi hutan di kawasan tersebut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*