Pengikut Sihulk sesat, bolehkah dihukum bunuh? Ini penjelasan Mufti

Sesiapa yang percaya Nabi Muhammad SAW ialah Allah SWT, sesungguhnya mereka telah terkeluar daripada agama Islam dan menjadi murtad yang boleh dijatuhi hukuman bunuh mengikut syariat Islam, ujar Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Ia susulan tular beberapa video di media sosial yang memaparkan beberapa wanita dan lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan beraninya mengaku mereka adalah antara pengikut Sihulk, selain mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT.

Menurut Wan Salim, kepercayaan sedemikian adalah satu ajaran sesat yang perlu diluruskan serta dibendung supaya tidak tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

“Kita tidak dapat memastikan apa tujuan sebenar di sebalik tindakan mereka merakamkan pengakuan sedemikian sebelum tularkannya.

“Malah, sedia maklum bahawa dalam Islam, Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang diutuskan Allah SWT untuk menyampaikan agama-Nya kepada seluruh manusia.

“Bagaimanapun kelebihan Nabi Muhammad SAW sebagai ‘Sayyidul khalqi’ atau sebaik-baik makhluk ini tidak harus membawa kepada kepercayaan yang melampau sehingga ke tahap pemujaan seperti mempertuhankan Baginda,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Wan Salim, siasatan terhadap individu yang terlibat dalam video tersebut harus dilakukan segera oleh pihak agama di Peringkat Persekutuan mahupun negeri.

“Mereka (terlibat ajaran Sihulk) harus bertaubat, jika berdegil untuk terus berpegang dengan kesesatan tersebut maka mereka perlulah dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Terdahulu, tular dua rakaman membabitkan dua keluarga berbeza yang mengaku mereka adalah pengikut Sihulk selain mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT.

Pada Mei 2021, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menerusi satu kenyataan memutuskan fahaman serta ajaran yang diasaskan Suhaini Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*