“Kalau anak jantan, buat laporan SPRM” – Dewan kecoh selepas Wan Saiful dakwa diugut, ditawar habuan sokong PM

Sidang Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah beberapa wakil rakyat susulan dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa diugut dan ditawar ‘habuan’ untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Wan Saiful dari Perikatan Nasional (PN) mendakwa ugutan itu dibuat sejak beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas kes pengubahan wang haram pada tahun lalu.

Dakwanya, beliau telah dihubungi seseorang yang tidak dinamakan untuk mengadakan pertemuan tertutup yang berlangsung kali pertama pada 17 Jan lalu dan terbaru selepas istiadat perasmian Parlimen, Isnin lalu.

Wan Saiful mendakwa sekiranya menyatakan sokongan kepada perdana menteri beliau akan mendapat peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan Parlimen diwakilinya.

Bagaimanapun, dakwaan itu dibantah beberapa Ahli Parlimen kerajaan termasuk RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menggesa Wan Saiful membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau anak jantan, buat laporan SPRM,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul turut meminta Wan Saiful untuk tidak meneruskan dakwaannya itu di Dewan Rakyat.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) pula membidas tindakan Rayer yang mendakwa Wan Saiful cuba menimbulkan sangkaan jahat.

“Apa sangkaan jahat… kamu tak tahu ugutan kita kena. Jangan buat tak tahu.

“Kita dijanjikan peruntukan kalau sokong perdana menteri. Apa yang salah,” katanya.

Pada 21 Feb 2023, Wan Saiful didakwa menerima rasuah hampir RM7 juta. Dia juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Turut baca :

Beliau didakwa menerima RM6.9 juta melalui akaun bank CIMB milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank milik Nepturis Sdn Bhd.

Wan Saiful juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan daripada Lian Tan Chuan di Royal Lake Club di sini pada April tahun lepas untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek Central Spine Road bernilai RM232 juta daripada kerajaan persekutuan.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan antara Julai dan September tahun lalu dalam usaha syarikat itu mendapatkan surat penerimaan bagi projek terbabit.

Pada Oktober tahun lalu, bekas ketua penerangan Bersatu itu didakwa 18 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5.6 juta, yang dikatakan dilakukan antara 12 Ogos hingga 13 Nov tahun lalu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*