{VIDEO} Tak puas hati keputusan pengadil, 3 lelaki bergaduh tepi padang di Butterworth

TIDAK berpuas hati dengan keputusan pengadil menjadi punca tercetusnya pergaduhan dalam satu perlawanan bola sepak di Butterworth, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima satu laporan mengenai insiden berkenaan yang turut tular di media sosial sejak Isnin.

Susulan daripada itu, beliau berkata, tiga individu berusia antara 30-an hingga 40-an ditahan pada hari kejadian untuk siasatan lanjut.

“Polis semalam (Isnin) mengesan satu rakaman video tular di media sosial berkenaan pergaduhan sekumpulan individu selepas selesai perlawanan bola sepak di Butterworth.

“Kejadian berlaku kelmarin (Ahad) dan tindakan telah diambil dengan menahan tiga suspek selepas satu laporan polis berhubung insiden itu diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Siti Nor Salawati berkata, punca kejadian adalah disebabkan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil di samping wujudnya provokasi ketika perlawanan.

“Pada masa sama terdapat provokasi sesama pihak dengan cara mempamerkan mimik muka dan gerak badan ketika perlawanan berlangsung,” katanya.

Menurut beliau, seorang daripada tiga suspek ditahan didapati memiliki rekod jenayah lampau dan usaha mengesan individu lain terlibat turut sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*