Sejam selepas dedah habuan RM1.7 juta sokong PM, SPRM hubungi MP Tasek Gelugor

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mendakwa dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), satu jam selepas ucapannya di Dewan Rakyat yang mendedahkan tawaran ‘habuan’ untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata beliau menerima mesej daripada pegawai agensi anti rasuah itu yang memintanya menghubungi mereka.

“Saya akan patuhi. Cuma saya nak tanya apa tindakan yang akan diambil untuk menghentikan penggunaan wang rakyat sebagai umpan kepada Ahli Parlimen Bersatu?

“Bukankah lebih baik jika wang itu digunakan untuk jaga kebajikan rakyat?,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Wan Saiful dalam perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat mendedahkan beliau ditawar ‘habuan’ termasuk RM1.7 juta untuk kawasan Parlimen diwakilinya untuk menyokong Anwar.

Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa beliau telah dihubungi seseorang yang tidak dinamakan untuk mengadakan pertemuan tertutup yang berlangsung kali pertama pada 17 Jan lalu dan terbaru selepas istiadat perasmian Parlimen, Isnin lalu.

Wan Saiful mendakwa sekiranya menyatakan sokongan kepada perdana menteri beliau akan mendapat peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan Parlimen diwakilinya.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar iaitu Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*