“Jangan nilai mereka pada luaran sahaja…” Mael XPDC antara pewakaf tanah untuk Kompleks Tahfiz An Nur Besut

Bekas vokalis kumpulan XPDC, Allahyarham Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim pernah mewakafkan tanah untuk pembinaan Kompleks Tahfiz An Nur Besut, Terengganu.

Mendedahkan perkara itu, pengasas dan pengerusi kompleks berkenaan, Ustaz Riduan Mohamad Nor berkata, Mael mewakafkan tanah untuk kompleks berkenaan pada tahun 2017.

Jelasnya, selain mewakafkan tanah, Mael bersama anggota XPDC lain turut menjadi duta dan membantu mencari dana untuk menjayakan pembinaan kompleks ini.

“Penglibatan kumpulan ini (XPDC) bermula dengan gitaris mereka iaitu Zua (Azuar Md Tasi) yang telah bersama kami sejak tahun 2013.

“Beliau adalah duta pertama kompleks ini dan juga kompleks di Setiu dan dari situ satu persatu ahli kumpulan tersebut menyertai dan membantu kami termasuklah arwah (Mael).

“Pada tahun 2017, Mael telah mewakafkan sebidang tanah yang dibeli daripada penduduk kampung untuk pembinaan kompleks tahfiz ini dan akhirnya ia siap pada tahun 2018,” katanya.

Mengulas lanjut, Riduan berkata, sehingga kini kompleks yang dibina di atas tanah seluas kira sembilan ekar (kira-kira tiga hektar) itu telah menempatkan kompleks tahfiz, sekolah rendah, bangunan tadika untuk kanak-kanak dan bangunan untuk warga emas.

Tambahnya, kompleks tersebut kini mempunyai lebih 170 orang pengguna termasuk pelajar tahfiz sepenuh masa, pelajar sekolah rendah dan pra serta warga emas.

“Walaupun mereka ‘rockers’ jangan nilai mereka pada luaran sahaja, kita tidak tahu apa yang mereka telah lakukan di sebalik kerjaya mereka.

“Saya amat berterima kasih kepada semua anggota kumpulan XPDC termasuk arwah dan Ali yang juga turut bersama-sama kita sejak dahulu lagi,”katanya sambil memberitahu bahawa Zua menjadi duta kompleks tersebut sejak tahun 2013 sehingga kini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Mael meninggal dunia di Hospital Muar, Johor sekitar pukul 9.30 malam, Khamis lalu.

Berita duka tersebut disahkan sendiri oleh anak perempuannya, Sharifah Irfatasha.

Difahamkan Syed Ismail, 55, telah dikejarkan ke Hospital Muar selepas diserang penyakit asma sebelum disahkan meninggal dunia tidak berapa lama kemudian.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*