Isu Menara KL : SPRM buka kertas siasatan

Menara KL dijual secara senyap, SPRM buka kertas siasatan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung pengambilalihan anak syarikat Telekom Malaysia Bhd (TM) yang menguruskan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Persoalan timbul mengenai pengambilalihan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) oleh firma dikenali sebagai Hydroshoppe Sdn Bhd, termasuk ketiadaan kenyataan umum dibuat berhubung perkara itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan urusan itu disiasat namun enggan memberikan perincian lanjut.

“Ya, SPRM sudah membuka kertas siasatan. Kami telah memulakan siasatan,” katanya memetik Malaysian Insight.

FMT sudah menghubungi Azam untuk ulasan.

Selasa lalu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata beliau memandang serius isu dibangkitkan di media sosial itu dan akan meneliti isu pengambilalihan pengurusan Menara KL daripada TM oleh Hydroshoppe.

Fahmi berkata, beliau sudah menerima taklimat terperinci berhubung konsesi pengurusan Menara KL daripada pegawai kementerian pada 14 Dis dan akan menerima satu taklimat menyeluruh mengenai isu itu daripada TM, Selasa depan.

Beberapa pengguna media sosial membangkitkan tindakan TM memindahkan pemilikan penuh MKLSB kepada Hydroshoppe pada Oktober.

Pengguna akaun Twitter, @FreeMsian, menggambarkan Menara KL sebagai “cash cow”, sambil menyatakan struktur tarikan pelancong itu menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM25 juta.

Pengguna itu juga membangkitkan soal pemindahan 10 juta saham MKLSB tidak dihebahkan kepada umum.

Hydroshoppe turut didakwa merupakan syarikat bermasalah yang dalam proses dinyahsenarai oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana tidak aktif sejak 14 tahun lalu namun secara tiba-tiba “mendapat talian hayat” daripada TM.

@FreeMsian juga membuat dakwaan mengaitkan perkara itu dengan Annuar Musa yang ketika itu adalah menteri komunikasi dan multimedia.

Dalam laporan Malaysiakini, Annuar menafikan beliau terlibat dalam urusan pemindahan saham TM daripada MKLSB kepada Hydroshoppe.

Katanya, TM merupakan syarikat senaraian awam dan urusan pemindahan saham itu tidak memerlukan kebenaran kementerian.

Isu Menara KL : SPRM buka kertas siasatan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*