Pengurusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) iaitu Hydroshoppe Sdn Bhd tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap MKLSB, Hydroshoppe Sdn Bhd atau pengarah mereka.
Syarikat itu berkata pihaknya memandang serius apa yang menurutnya sebagai penyebaran maklumat palsu atau berunsur fitnah berkaitan mereka.
Syarikat itu menegaskan semua urus niaga berkaitan MKLSB dilakukan mengikut undang-undang serta dengan usaha wajar (due diligence).
“Kami akan buat siasatan lanjut. Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terlibat dan kami akan tuntut ganti rugi.
“Kami juga akan berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Digital berhubung perkara ini untuk menjelaskan keadaan,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Syarikat itu juga meminta pengguna media sosial untuk berhenti menyebarkan maklumat yang didakwa palsu serta membuat kenyataan fitnah dan spekulasi, yang menurutnya bertujuan menjejaskan reputasi mereka.
Terdahulu minggu ini, isu penjualan saham dalam Menara KL Sdn Bhd telah dibangkitkan di media sosial. Urus niaga itu mengundang perhatian kerana syarikat pengurusan itu dikatakan sangat menguntungkan, pada masa sama syarikat yang membeli saham TM tidak dikenali.
Semalam TM berkata pihaknya memutuskan untuk tidak lagi memegang konsesi bagi pengurusan Menara KL kerana mahu menumpukan kepada perniagaan terasnya iaitu perkhidmatan telekomunikasi.
TM juga berkata proses untuk memilih pemegang konsesi baru dibuat oleh kerajaan.
SPRM juga telah memulakan siasatan dan setakat semalam telah memanggil tiga saksi dan mendapatkan sejumlah dokumen dari pihak berkaitan.
Leave a Reply