Tiga individu dipanggil isu pengambilalihan Menara KL – SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil tiga individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan juga telah diperoleh untuk diteliti.

Menurut SPRM, siasatan terperinci dan profesional akan dijalankan daripada semua sudut berkaitan isu berkenaan.

“SPRM akan menyiasat sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, SPRM dilaporkan telah pun memulakan siasatan mengenai isu pengambilalihan pengurusan Menara KL.

Ia susulan isu tular mengenai penjualan saham pengurusan Menara KL kepada syarikat lain yang diragui kemampuannya.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

Difahamkan, pemindahan semua 10 juta saham MKLSB berlaku pada 31 Oktober ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Annuar bagaimanapun menegaskan tiada kena mengena dengan pemindahan saham TM melalui MKLSB kepada syarikat berkenaan.

TM dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan memberi tumpuan kepada usaha dan sumber untuk mengukuhkan perniagaan teras membuatkan syarikat itu memutuskan tidak memperbaharui konsesi operasi serta penyelenggaraan Menara KL.

Syarikat itu memaklumkan, Menara KL dimiliki kerajaan dengan operasi dan penyelenggaraan diberikan kepada konsesi.

Menurut syarikat itu, TM melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd (MKLSB) telah melaksanakan konsesi itu sejak 1996.

Bagaimanapun, TM memberitahu, syarikat itu telah memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL pada Oktober 2021 dan telah memaklumkan perkara tersebut kepada kerajaan.

Tiga individu dipanggil isu pengambilalihan Menara KL – SPRM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*