Hannah : Dr Rani utamakan persahabatan mendahului perbezaan politik

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Allahyarham Dr Abd Rani Osman, yang meninggal dunia semalam.

Walaupun berbeza parti politik, dia berkata Rani adalah sahabat baiknya dan seorang insan yang baik.

Katanya, selepas menerima perkhabaran duka itu, dia terus menghubungi isteri arwah sebelum bergegas ke Meru untuk memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham.

“Di dalam masjid pula, kedengaran doa yang dibacakan bercampur-baur dengan tangisan dan berakhir dengan kata-kata ini – ‘ini hamba Allah yang baik’.

“Saya menjadi saksi bahawa Dr Rani adalah seorang insan yang baik,” katanya dalam catatan di Facebook.

Yeoh berkata, setiap kali dia diserang kerana kepercayaan agamanya, Allahyarham akan meyakinkannya untuk tidak berasa bimbang.

Malah, kata Yeoh, Allahyarham turut hadir majlis ringkas yang diadakan sempena kelahiran anaknya di gereja satu ketika dulu.

“Semasa isu serbuan DUMC (Gereja Methodist Damansara Utama berlaku, beliaulah mengetuai delegasi ahli politik Islam untuk berdialog dengan pihak gereja.

“Beliau memperlihatkan kepada saya bagaimana kita boleh menjalani kehidupan bersama dengan orang yang berlainan agama.

“Apabila Pakatan Rakyat berpecah, Dr Rani terus kekal dalam PAS. Keputusan terbaik yang dicapai oleh PAS Selangor dalam pilihan raya umum adalah semasa Dr Rani mengetuainya, iaitu ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Selangor,” katanya.

Tambah Hannah, dia benar-benar bersyukur kerana dapat hadir di hari pengebumian Rani.

“Beliau tentunya akan sangat dirindui. Kami mungkin seteru dalam politik, namun Dr Rani adalah satu-satunya malah seorang sahabat yang paling dikasihi. Begitulah bagaimana saya akan mengenangnya.

“Semasa hayat tuan, ketika mempunyai jawatan ataupun tanpa sebarang jawatan, tuan telah memberikan khidmat bakti terbaik buat rakyat Meru.

“Segala-galanya dalam diri saya bersetuju dengan doa terakhir buat insan ini – ‘ini hamba Allah yang baik’. Ya dan amin. Dr Rani, saya begitu sayangkan tuan dan terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup saya,” katanya.

Rani adalah Adun Meru dari 2008 hingga 2018, dan pernah menjadi pesuruhjaya PAS Selangor dari 2011 hingga 2013.

Semasa Yeoh berkhidmat sebagai speaker DUN Selangor, dia dan Rani turut berkhidmat bersama dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan (Selcat).

Allahyarham meninggal dunia semalam pada usia 65 tahun.

Hannah : Dr Rani utamakan persahabatan mendahului perbezaan politik

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*