Hamzah ‘tak berani’ bangkit isu rasuah, parlimen perlu ketua pembangkang baharu

Datuk Seri Hamzah Zainuddin gagal menjadi Ketua Pembangkang yang berani apabila tidak membangkitkan isu rasuah di Parlimen terutama membabitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara yang merosot teruk.

Ahli veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Hamzah bahkan terlewat hadir ke waktu pertanyaan Perdana Menteri dan tidak bertanya satu pun soalan tambahan mengenai isu rasuah.

Menurutnya jika Ahli Parlimen Larut itu tidak berani menegaskan prinsip anti-rasuah di Parlimen, Malaysia perlu melantik Ketua pembangkang baharu untuk menjalankan proses semak imbang lebih baik.

“Adakah kita mempunyai seorang Ketua Pembangkang yang tidak berani membangkitkan isu-isu berkenaan rasuah di Parlimen?

“Sekiranya Hamzah tidak berani untuk memimpin kempen anti-rasuah di Parlimen, Malaysia memerlukan seorang Ketua Pembangkang di Parlimen yang baru,” katanya.

Lim menyenaraikan tiga kesilapan Hamzah iaitu gagal memastikan proses semak imbang sewaktu pertanyaan Perdana Menteri, gagal ujian dari Agong supaya ada kestabilan politik dalam tempoh lima tahun, dan gagal menyentuh mengenai CPI 2022 dalam ucapan sulungnya di Parlimen.

Beliau mengajukan persoalan, adakah Hamzah sengaja tidak menyentuh isu rasuah kerana ianya akan membuka pekung pentadbiran dua kerajaan lalu iaitu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

Baginya sidang Parlimen selama tujuh minggu yang sedang berlangsung ini patut menjadi sidang Parlimen yang paling penting dalam sejarah negara, iaitu dengan memulakan inisiatif reformasi institusi.

Ini katanya bagi mencapai matlamat berganda menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia dan mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai negara hebat bertaraf dunia.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*