KSN arah siasat ketirisan, pembaziran RM158 juta

Jabatan Perkhidmatan (JPA) Awam diarah mengambil tindakan segera terhadap ketirisan dan pembaziran dana kerajaan seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata laporan berkenaan menunjukkan banyak kepincangan dan kelemahan dalam sistem yang perlu diperbaiki.

Menurutnya, Unit Laporan Ketua Audit Negara akan menyelaras dengan jawatankuasa siasatan dalaman di setiap kementerian untuk mengesan sama ada wujud elemen tidak mematuhi prosedur dan peraturan.

“Sekiranya didapati ada kemungkinan berlaku pecah amanah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat kes terbabit.

“Jika berlaku kecuaian dalam melaksanakan tugas, maka ia akan disyorkan untuk tindakan tatatertib,” katanya menurut New Straits Times.

LKAN 2021 Siri 2 diumumkan Khamis lalu mendedahkan pelbagai kepincangan dan kelemahan dalam sistem kerajaan yang mengakibatkan kerugian, ketirisan dan pembaziran wang rakyat.

Antara yang didedahkan, kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur, dan pembaziran sejumlah RM158.08 juta yang dikesan di tiga kementerian dan empat agensi Persekutuan yang diaudit Jabatan Audit Negara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*