Gempar ‘bas terbakar’ di Terminal Larkin Sentral, rupanya ini berlaku

Orang ramai di Terminal Larkin Sentral di sini gempar apabila sebuah bas terbakar di tempat letak kenderaan dalam kawasan terminal berkenaan.

Malah, para penumpang yang sedang menunggu bas turut panik apabila mendengar siren bomba yang berusaha memadamkan kebakaran itu.

Bagaimanapun, orang ramai terutamanya para penumpang menarik nafas lega apabila bunyi siren dan asap itu adalah latihan kebakaran yang diadakan oleh pihak pengurusan Larkin Sentral.

Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Mohd. Helmi Mohd. Affendi berkata, sesi latihan kebakaran bangunan kira-kira pukul 11 pagi yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan Larkin Sentral turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor.

Latihan turut melibatkan Pasukan Respons Kecemasan (ERT) Larkin Sentral dengan seramai 42 pegawai dan anggota daripada pihak pengurusan bangunan, kontraktor perkhidmatan (Kebersihan, Keselamatan, Tempat Letak Kereta, Penjualan Tiket Berpusat dan Polis Bantuan Johor Corporation) serta para pengusaha bas, katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Helmi berkata, latihan tersebut juga bagi membaharui Sijil Perakuan Bomba sebagai jaminan keselamatan bangunan beroperasi.

Latihan itu juga untuk memberi pendedahan kepada pasukan ERT supaya dapat bertindak dengan pantas serta memberikan bantuan awal sekiranya berlaku kejadian kecemasan dan bencana di dalam kawasan terminal.

Turut terlibat adalah pihak pengurusan bangunan Larkin Sentral, Damansara Assets dan syarikat di bawah kumpulan, iaitu DASB Property Management Sdn Bhd, Waqaf An-Nur Corporation Bhd (Briged Waqaf), Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Balai Polis Larkin dan Syarikat Pengangkutan Maju Bhd.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*