Gabungan pelajar ‘desak’ potong gaji menteri biar mereka faham kesusahan rakyat

Gabungan pelajar ‘desak’ potong gaji menteri biar mereka faham kesusahan rakyat.

Gabungan kumpulan pelajar hari ini turun ke jalan membantah kekurangan tindakan diambil kerajaan terhadap kenaikan kos barangan.

Tuntutan mereka kepada kerajaan ialah pemotongan gaji menteri, teruskan pemberian subsidi, bantuan tunai yang lebih baik, mengekalkan harga siling barangan, dan menyelesaikan isu keselamatan makanan.

 

Berucap di hadapan orang ramai, Presiden Kesatuan Pelajar UIAM Aliff Naif membidas kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Nik Muhammad Zawawi Salleh semalam yang berkata kenaikan kos barangan bukan menjadi masalah besar kepada pengguna.

Turut baca

“Tuntutan kita yang pertama potong gaji menteri untuk tunjuk kesaksamaan. Kelmarin timbalaan menteri mengatakan bahawa masalah kenaikan harga bukan masalah yang besar. Nampak sangat putus daripada masyarakat.

“Tidak sesekali mereka faham keadaan kita. Kita minta potong gaji supaya mereka faham kenapa kita rasa susah,” kata Aliff di hadapan 100 penunjuk perasaan yang berhimpun di Pasar Seni di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Ahmad Farhan berkata para pelajar berkumpul dengan aman untuk meluahkan kekecewaan mereka.

Dia kesal kerana sukar bagi rakyat untuk membeli keperluan asas seperti telur, sardin dan kangkung sejak sebelum ini lagi.

“Kalau dulu susah makan telur, kalau dulu susah makan sardin, kalau dulu susah makan kangkung. Sekarang ini harga ayam naik, harga sardin naik, harga kangkung naik. Lepastu rakyat makan apa?

“Kita berkumpul di sini hari ini untuk menunjukkan bahawa perkara-perkara ini tidak sepatutnya dibenarkan berlaku. Dengarkan kesusahan pelajar,” tambahnya.

 

Kira-kira 50 pegawai polis menyaksikan protes selama 40 minit itu tanpa gangguan.

Minggu lalu, kesatuan pelajar UIAM dan Universiti Malaya menggesa kerajaan menurunkan harga barang, dan memberi amaran akan turun ke jalan membuat bantahan sekiranya gagal berbuat demikian.

Aliff memberi amaran kepada kerajaan hari ini bahawa jika ia tidak mematuhi tuntutan mereka, mereka akan hadir untuk satu lagi bantahan awam.

“Jika tuntutan kami (hari ini) tidak dipenuhi, ini bukan kali terakhir anda melihat kami. Ini bukan kali terakhir kami bersuara,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*