Fitnah : PM Anwar hantar notis tuntutan kepada Awang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, berhubung kenyataan yang menuduh beliau berdendam lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad dan mengamalkan pendakwaan berpilih.

Dakwaan Awang itu berkait dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersat, Datuk Wan Saiful Wan Jan, di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Firma guaman, Tetuan S N Nair dan Partners yang mewakili Anwar berkata, Perdana Menteri juga menuntut bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu menarik balik kenyataan fitnah secara umum itu dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan itu lagi.

“Anak guam mengarahkan kami untuk menuntut ganti rugi substantif daripada Yang Berhormat (Awang) kerana merosakkan reputasinya. Anwar menuntut daripada Yang Berhormat pembayaran semua kos guaman yang berbangkit daripada perkara ini.

“Notis ini ditulis selaras dengan protokol pratindakan sebelum permulaan tindakan saman fitnah. Kami menunggu maklum balas Yang Berhormat tanpa apa-apa kelewatan.

“Sekiranya anak guam tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tiga hari daripada tarikh penerimaan notis, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan perundangan terhadap Yang Berhomat,” katanya menerusi LOD yang dihantar kepada Awang bertarikh pada Rabu.

Mengulas mengenai tuduhan rasuah terhadap Wan Saiful, Awang dilaporkan berkata ‘kalau inilah permulaan PM, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikatakan zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.’

Malah, Awang juga mendakwa sifat balas dendam Perdana Menteri sangat kuat dan sangat pendendam. Dalam LOD sama, peguam Anwar berkata kenyataan dibuat Awang adalah tidak benar, membebankan, mengelirukan dan tidak munasabah serta berniat jahat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*