Tapak tinggalan Shah-e Gholghola terletak di kota Bamiyan, salah sebuah bandar tertua di Afghanistan. Shah-e Gholghola merupakan sebuah kota yang amat gah sewaktu zaman kegemilangannya, menjadi tempat persinggahan pendakwah, pedagang dan pengembara sejak kurun keenam hingga ke 13 Masihi.
Selepas merosotnya empayar Kesultanan Ghuri pada kurun ke-12, dinasti Khawarizmi menjadi penguasa dominan di rantau Asia Tengah. Banyak bandar perdagangan berjaya dikuasai dinasti tersebut termasuk kota Shah-e Gholghola. Kota ini amat terkenal di zamannya kerana nilai yang strategik dari sudut politik, ketenteraan dan perdagangan.
Namun, sikap angkuh dan cuai raja Khawarizmi telah membawa kehancuran kepada kota ini. Keangkuhan Maharaja Shah Ala Addin Muhammad melayan kejam utusan Genghis Khan, akhirnya menghancurkan keseluruhan empayar Khwarizmi di tangan empayar Mongol pimpinan Genghis Khan pada awal kurun ke-13.
Pada peringkat awal, Genghis Khan menghantar kumpulan pedagangnya untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan dinasti Khwarizmi. Namun, kecuaian pimpinan Khwarizmi telah membunuh para pedagang itu kerana menganggap mereka sebagai perisik.
Apabila sekali lagi Genghis Kan menghantar wakilnya untuk berunding, mereka telah dipancung dan kepalanya dikembalikan kepada Raja Mongol itu. Ia telah membangkitkan kemarahan Genghis Khan lalu mengisytiharkan perang.
Raja Mongol itu telah menghantar puluhan ribu bala tentera Mongol untuk menakluki semua wilayah jajahan dinasti Khwarizmi. Satu demi satu kota-kota dinasti itu berjaya ditawan tentera Mongol.
Kota-kota agung laluan sutera yang menjadi pusat perdagangan dan keilmuan Islam sewaktu zaman kegemilangan khalifah Umayyah dan Abbasiyah semua dihancurkan oleh Genghis Khan. Ini termasuk juga kota Shah-e Gholghola.
Pun begitu, kota terakhir dinasti Khwarizmi ini dikenali memiliki pertahanan terbaik. Walaupun diserang, kota ini masih mampu menahan asakan musuh. Ramai tentera Mongol yang terkorban angkara panah yang dilepaskan dari sebalik tembok kota tersebut. Turut terkorban salah seorang cucu kesayangan Genghis Khan sendiri.
Walaupun memiliki pertahanan hebat, namun akhirnya kota ini tumbang juga. Bukan kerana kekerasan musuh, tapi kerana seorang pengkhianat wanita.
Runtuhnya Shah-E Gholghola
Menurut cerita masyarakat setempat, kota Shah-e Gholghola hancur kerana seorang pengkhianat dari dalam tembok kota itu sendiri. Mereka menceritakan, puteri pemimpin kota itu yang bernama Leila Khatun menjadi dalangnya.
Sebabnya kerana Leila Khatun marah dan benci terhadap bapanya sendiri yang mahu berkahwin dengan seorang puteri dari kota Ghazni. Tidak setuju bapanya berkahwin lain, Leila telah mendedahkan laluan rahsia bawah tanah kota tersebut kepada tentera musuh. Melalui laluan itu musuh berjaya menyusup masuk ke dalam kota tersebut.
Leila berharap dengan membantu pihak musuh, dia akan menerima imbalan daripada Genghis Khan dengan mengahwinkannya dengan salah seorang putera atau cucu raja Mongol itu. Adakah impiannya menjadi kenyataan?
Setelah tentera Mongol berjaya menguasai Shah-e Gholghola, seluruh penghuni kota itu dibunuh oleh Genghis Khan. Ini termasuklah Leila, si puteri pengkhianat tersebut.
Walaupun Leila merayu, ia tidak dipedulikan. Kesemua penghuni kota itu termasuk anak-anak kecil dibunuh kejam kerana dendam Genghis Khan atas kematian cucu dan para perajuritnya. Manakala Leila Khatun pula dihukum pancung.
Genghis Kan juga mengarahkan kota itu dimusnahkan sama sekali dengan bahan letupan. Raungan puteri itu di ambang kematian bersama jeritan para penghuni kota menjadi inspirasi kepada nama Shahr-e Gholghola yang bermaksud ‘kota raungan’.
Selepas kota tersebut dihancurkan, tapak kota itu digelar ‘bandar terkutuk’. Sesiapa pun tidak dibenarkan tinggal di situ. Selama tujuh abad, puing-puing Shah-e Gholghola masih kekal memperlihatkan kesan kekejaman yang pernah berlaku pada awal kurun ke-13 dahulu.
Leave a Reply