Mayat dalam tangki najis, polis buru 8 suspek

Polis sedang mengesan lapan individu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dipercayai mangsa bunuh dalam sebuah tangki najis, di Kuala Kangsar pada 14 Mei lepas.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semua suspek merupakan warga Indonesia yang tinggal serumah dengan mangsa.

“Kita telah kenal pasti (suspek) dan kita sekarang sedang mengesan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan tindakan selanjutnya.

“Jadi berilah masa kepada pihak berkuasa dan kami menjalankan siasatan dan mengesan suspek-suspek ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Perak Tahun 2023 di IPD Perak Tengah, Bota dekat sini malam tadi.

Pada 15 Mei, Ketua Polis Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dipercayai telah melarikan diri, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*