Pembangkang hanya ‘langau’ politik – Salahuddin

Pembangkang disifatkan seperti ‘langau’ politik kerana hanya membuat ‘bising’ mengenai keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tidak mengambil peluang membawa usul undi tidak percayaterhadap Perdana Menteri itu, di Parlimen.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, pembangkang sepatutnya menggunakan sesi sidang Parlimen yang akan bermula esok dengan mengemukakan usul undi tidak percaya jika benar sudah mempunyai cukup sokongan.

“Perdana Menteri sebelum ini mencabar secara terbuka untuk pembangkang membawakan usul undi tidak percaya di Parlimen.

“Sepatutnya, mereka (pembangkang) menggunakan peluang ini. Bila mereka tidak membawa usul ini, saya boleh tafsirkan mereka seperti ‘langau-langau’ politik sahaja,” katanya.

Beliau, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) memberitahu media demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Metrologi 2023.

Semalam, Pejabat Ketua Pembangkang memaklumkan Perikatan Nasional (PN) tidak mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat, yang akan bermula Isnin ini.

Pejabat Ketua Pembangkang berkata, tiada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mengemukakan usul itu kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perkembangan itu menyaksikan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak berdepan ‘ujian keabsahan’ sepanjang sesi Dewan Rakyat kali ini.

Sebelum ini, Anwar beberapa kali mencabar pembangkang supaya membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen bulan ini, jika mereka yakin mempunyai jumlah sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen.

Cabaran itu dilontarkan susulan spekulasi mengenai jumlah sokongan Ahli Parlimen kepadanya menjadi polemik, selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman, memberi bayangan mengenai gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*