Demi isteri yang angkuh, anak sanggup biarkan ibunya menderita sehingga meninggal dunia di Tanah Suci

APABILA semua 30 jemaah yang akan saya bawa sudah berada di KLIA, saya berikan mereka sedikit taklimat sebelum check in. Selesai semuanya, saya iringi mereka ke kaunter. Seorang jemaah, lelaki separuh usia, saya lihat sedang menolak kerusi roda yang diduduki seorang wanita tua.

“Bertuah ibu itu mendapat anak yang baik,” bisik hati saya.

Tiba-tiba lelaki itu memandang saya seolah-olah mendengar apa yang saya bisikkan. Senyuman yang saya beri dibalasnya. Ketika itu jarak antara saya dengannya lebih kurang enam meter saja. Semasa menghampirinya. “Emakkkk…?” tanya saya.

“Yaa…” katanya mengangguk. “Itu isteri saya…” sambungnya menunjuk ke arah seorang wanita yang sedang mengheret dua tiga beg tidak jauh darinya.

Kesian melihat keadaan isterinya, saya menawarkan diri membantu. “Biar saya tolak mak cik, encik tolong isteri tu,” kata saya lantas memegang handle kerusi roda itu.

Sebaik tiba di pusat pemeriksaan imigresen, jemaah tadi menghampiri saya, memberikan pasport ibunya. Saya pun uruskan kemasukannya hingga ke dalam pesawat. Saya kemudian pulangkan semula pasport ibu jemaah tadi kepadanya semasa dalam pesawat.

“Tak apa, aji simpanlah,” katanya membuatkan saya tersentak. Saya kembali ke tempat duduk dengan seribu persoalan, tertanya-tanya kenapa dia meminta saya menyimpan pasport ibunya?

Tiba di Lapangan Terbang Jeddah, sekali lagi jemaah itu meminta saya menyorong kerusi roda ibunya. Saya tak kisah, tapi berasa pelik kenapa dia sebagai anak meminta saya pula menguruskan ibunya. Dia buat apa?

Saya semakin hairan apabila tiba di Mekah, jemaah tadi melepaskan tanggungjawab menjaga ibunya kepada saya. Dia asyik mengulit isterinya ke sana ke mari, bahkan untuk ke masjid pun saya diminta membawa ibunya.

Bertambah pelik apabila dia langsung tak mengendahkan ibunya. Saya lihat lelaki itu enak makan bersama isteri, tidak langsung bertanya apakah ibunya sudah makan atau belum. Tidak pernah sekali pun dia bertanya apa-apa pada ibunya.

Cuma sesekali dia menjeling melihat saya mengambil makanan untuk ibunya itu. Kadang-kadang naik darah juga, tapi mengenangkan nasib ibu tua itu yang kerap berpesan pada saya agar membawanya ke masjid, saya jadi serba salah.

Setelah beberapa lama bersama ibu tua itu, suatu tengah hari ketika kami dalam perjalanan ke masjid, saya beranikan diri bertanya apa masalah dia dengan anaknya itu.

Saya terperanjat apabila ibu tua itu teresak-esak. Tidak sepatah pun dia berkata-kata selain menyatakan terima kasihnya pada saya. Si ibu itu kemudian menggeleng-geleng beberapa kali, sementara air matanya semakin lebat. Saya tahu, dia menyimpan seribu satu rahsia yang melukakan hati dan perasaannya.

Demi isteri yang angkuh, anak sanggup biarkan ibunya menderita sehingga meninggal dunia di Tanah Suci

“Minta maaf mak cik, kalau soalan saya menyinggung tadi. Saya janji akan bantu mak cik sampai pulang,” kata saya, memujuknya agar berhenti menangis.

Ibu tua itu hanya mengangguk. Sejak itu sayalah yang menjaga daripada urusan membawa ke masjid, kecuali Subuh hinggalah makan minumnya.

Walaupun merasakan tugas sebagai ketua rombongan tambah memberat, saya reda kerana mungkin ada hikmahnya. Cuma yang bermain di kepala saya ialah kenapa si anak terus-menerus membiarkan ibunya berseorangan sepanjang berada di Mekah?

Saya kemudian bertanya kepada rakan sebilik ibu tua itu. Dia juga enggan memberitahu apa sebenarnya berlaku. “Aji, tolonglah dia. Aji jangan lupa, pahala menolong seorang yang dalam kesusahan cukup tinggi ganjarannya,” balas wanita itu lagi.

Daripada jawapan itu saya dapat mengagak, ibu tua itu telah pun menceritakan laluan hidupnya kepada wanita rakan sebiliknya tadi.

Masuk hari kelima belas berada di Mekah, suatu petang sebelum jemaah berangkat ke Masjidilharam untuk menunaikan solat Maghrib, saya mencari jemaah itu di biliknya. Ketika berada atas eskalator, saya nampak jemaah itu baru keluar dari lif. Saya melompat turun, lantas memberi salam.

“Ha… aji! Cari saya ke?” dia bertanya sebaik tangan yang saya hulur bersambut.

“Maaf…” kata saya perlahan. “Begini, ibu encik sakit di bilik. Luar biasa panas badannya, demam kut?” kata saya.

“Alamak… saya baru nak bersiap-siap ke masjid ni. Boleh tak aji bawa dia ke hospital?”

“Aaa… aaa…!” Saya gugup seketika. “Tapi… emak encik nampak teruk. Elok encik suami isteri yang iring sama, saya bolehlah bawakan,” balas saya.

“Kami dah siap-siap nak ke masjid ni, takkan nak bawa dia ke hospital pulak. Susahlah macam ni, bang?” tiba-tiba isteri jemaah itu yang sedang berada di belakangnya bersuara.

Sesungguhnya saya gamam mendengar kata-kata mereka. Tidak langsung saya duga jemaah yang saya sangka seorang yang baik semasa di KLIA bersikap begitu terhadap ibunya.

“Beginilah aji… aji ajalah bawa dia jumpa doktor atau hospital. Saya ni tak ada masa langsung, berapa bayarannya aji bagi tahu nanti,” katanya selamba.

Si isteri pula terus menarik tangan suaminya, lalu beredar. Beberapa kali saya beristighfar apabila melihat jemaah itu berpegangan tangan keluar dari lobi hotel. Saya cukup kecewa, tapi sebagai ketua rombongan saya mesti membantu wanita tua itu.

Petang itu saya sekali lagi menemui jemaah tersebut memberitahu bahawa ibunya telah dimasukkan ke wad. Agak lama dia mendiamkan diri, kemudian dipegangnya bahu saya.

“Ginilah aji, kalau ada masa, petang nanti saya datang tengok dia,” katanya terus berlalu. Saya benar-benar kecewa. Jauh di sudut hati saya berjanji tidak akan memberitahu apa-apa lagi tentang ibunya.

Setiap petang saya ke hospital menziarahi wanita tua itu. Ibu tua itu nampak gembira melihat saya tetapi apabila ditanya tentang anak lelakinya, dia memalingkan muka sambil menangis teresak-esak.

Tiga hari kemudian, pihak hospital menghubungi saya melalui telefon di hotel memberitahu ibu tua itu telah meninggal dunia. Saya tidak bertemu sesiapa, sebaliknya terus ke hospital.

Namun saya tiada pilihan, terpaksa juga memberitahu jemaah tadi tentang kematian ibunya. Saya kembali ke hotel, mencarinya. Sebaik bertemunya di bilik, jemaah itu tidak langsung menunjukkan rasa terperanjat. Dia nampak biasa saja.

Agak lama kemudian barulah dia bersuara. “Syukurlah… sampai hajat dia!” katanya membuatkan berderau darah saya. Rasa marah dan sedih bercampur-aduk, tapi saya diamkan diri.

“Aji tentu ada pengalaman uruskan jenazah di sini, kan? Aji uruskanlah. Dah meninggal, nak buat macam mana?” katanya membuatkan badan saya menggeletar.

Saya berlalu sambil berdoa dalam hati agar Allah lapangkan kubur ibu tua yang malang itu dan menempatkannya bersama golongan mereka yang beriman.

Tak lupa juga saya doakan agar Allah bukakan pintu hati anak lelakinya itu.

Lalu saya terkenangkan ibu saya di kampung. Beberapa ketika air mata saya berlinang. Saya cukup sebak melihatkan sikap seorang anak yang sanggup mengabaikan ibu semata-mata kerana terlalu mendengar kata-kata isterinya.

Sehingga tiba waktu pulang ke tanah air dua minggu kemudian, jemaah tadi tidak langsung bertanya tentang ibunya, sekalipun semasa saya menyerahkan pasport dan pakaian ibu malang itu.

Selamat Hari Ibu saya ucapkan kepada semua pembaca Mastika dan UtusanTV yang bergelar ibu. Semoga perkongsian cerita saya ini memberi pengajaran dan manfaat kepada kita semua.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*