Dakwa ‘diganggu’ SPRM, timbalan speaker cadang Wan Saiful lapor polis

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor menasihatkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan agar membuat laporan polis berkaitan dakwaan “diganggu” oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ramli berkata demikian selepas Wan Saiful mendakwa mendapat gangguan daripada SPRM yang mahu merakam keterangan berhubung ucapannya di Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun, saya terus menerus mendapat kacau ganggu daripada pihak berkuasa terutamanya daripada pihak SPRM.

“Saya baru mendapat satu notis untuk dirakam percakapan saya mengenai apa yang saya sebut dalam dewan yang mulia ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Saiful membangkitkan mengenai imuniti atau kekebalan ahli parlimen daripada dikenakan prosiding sivil atas apa-apa petisyen atau usul yang dikemukakan dalam dewan seperti yang terkandung dalam Seksyen 7 Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

Justeru, menurutnya, tidak ada mana-mana pihak boleh menyentuh perkara yang telah dimuktamadkan oleh Speaker termasuklah ucapan yang disebut di dalam dewan.

“Bila ada kacau ganggu ini, bagi saya, ini satu tekanan yang tidak wajar kepada ahli-ahli parlimen,” katanya.

Pada 28 Feb lalu, Wan Saiful mendakwa dia ditawarkan habuan berupa peruntukan RM1.7 juta untuk kawasannya jika menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Namun, tidak sampai satu jam selepas ucapannya, dia mendakwa dihubungi pegawai SPRM berkaitan dakwaannya.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata ia menjadi tanggungjawab mana-mana individu yang mendakwa ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan agar tindakan selanjutnya boleh diambil.

Justeru, SPRM memberi tempoh seminggu kepada Wan Saiful untuk tampil membuat laporan.

Susulan perkara itu, ahli parlimen kerajaan membuat usul untuk menggantung Wan Saiful selama enam bulan daripada sidang Dewan Rakyat kerana mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyalahgunakan kuasa tetapi membatalkan usul berkenaan setelah dia membuat permohonan maaf.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*