Cubaan manipulasi harga di pasaran, KPDN sedia kerjasama banteras isu tukar label kampit beras – Salahuddin

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dilapor dilakukan bagi memanipulasi harganya di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata walaupun ia terletak di bawah bidang kuasa KPKM menerusi Kawalselia Padi dan Beras (KPB) namun pihaknya juga akan bertindak apabila aduan diterima.

“Tentang perkara ini, kita masih lagi menunggu aduan dan jika ada aduan itu kita akan lihat namun setakat hari ini kita belum dapat lagi bukti berkenaan perkara ini (tukar label beras tempatan kepada import) berlaku.

“Dalam mesyuarat Kabinet semalam, kedua-dua kementerian ini ada berbincang mengenai perkara ini dan kami akan memantau dan buat sesuatu, termasuk mengambil tindakan jika aduan itu didapati benar,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di KL East Mall di sini, semalam.

Sebelum ini, terdapat laporan media bahawa wujud segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import bagi mengaut keuntungan besar.

Taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*