Cemburu rapat dengan majikan, lelaki Myanmar tikam rakan guna gunting diburu

POLIS sedang memburu suspek (gambar) yang juga warga negara Myanmar disyaki membunuh rakannya di sebuah ladang tanaman buah-buahan di Jalan Renggam – Kluang, Kluang.

Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki membunuh rakannya di ladang buah-buahan di Jalan Renggam – Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang kira-kira pukul 12.55 tengah malam mengenai kematian seorang lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan dengan dua kesan tikaman di dada kiri, masing-masing satu tikaman di rusuk kiri dan kanan.

“Hasil maklumat daripada isteri mangsa, suspek mula bertengkar dengan suaminya pada pukul 7.45 malam Jumaat (kelmarin) sehingga berlaku pergelutan yang mengakibatkan mangsa ditikam menggunakan gunting pemotong dahan.

“Punca pertengkaran dikatakan kerana rasa tidak puas hati suspek apabila mangsa sentiasa berhubung rapat dengan majikan mereka,”katanya di sini hari ini.

Menurut Bahrin lagi, susulan daripada kejadian itu pada pukul 5 petang semalam, seorang lelaki warga asing berusia 30an ditahan di ladang itu manakala pukul 9 malam seorang lagi lelaki berusia ditahan di ladang pisang Bukit Benut dipercayai sebagai rakan suspek.

Tambahnya lagi, suspek utama yang melarikan diri dipercayai masih berada dalam daerah ini dan susulan itu Ops Cantas dilancarkan bagi mengesan pergerakannya kerana mungkin cuba untuk keluar dari negara ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat lelaki ini dan yang mencurigakan diharap dapat menghubungi Balai Polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*