‘Cakap tak serupa bikin’, PKR bidas dakwaan Pemuda PN

‘Cakap tak serupa bikin’, PKR bidas dakwaan Pemuda PN. Ketua Penerangan PKR, Haziq Azfar Ishak menyifatkan tindakan Pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis berkaitan perjanjian persefahaman kerjasama yang dimeterai antara pemimpin parti pemerintah umpama cakap tidak serupa bikin.

“Di manakah Pemuda PN ketika Pakatan Harapan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama kerajaan persekutuan pimpinan Ismail Sabri Yaakob tatkala puak PN turut menerima laba politik hasil termeterai persefahaman ini.

“Pemeteraian set perjanjian seperti Confidence and Supply Agreement (CSA) yang mengikat komitmen undian setiap anggota yang bernaung bawah sesuatu koalisi atau parti politik adalah amalan biasa yang tak pernah mereka pertikai sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menegaskan pemeteraian perjanjian sememangnya suatu konvensyen bagi parti koalisi yang membentuk kerajaan dalam mengikat komitmen bagi mengukuhkan kestabilan mahupun memperkemas hala tuju kerajaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya pihak terlibat berhenti bermain pertikaian terminologi pembentukan kerajaan perpaduan dan ‘move forward’ memulakan tugas menjadi blok pembangkang yang konstruktif terhadap dasar semasa kerajaan.

“Masalah anak muda yang substantif adalah jauh lebih banyak berbanding fokus pertikaian terminologi seperti ini. Satu per tiga jurutera muda bergaji bawah RM2,000 sebulan, 55% pendapatan ibu bapa dibelanjakan untuk pendidikan tinggi.

“Isu-isu inilah yang perlu difokuskan sekiranya pembangkang benar serius mahu membantu membina negara dan membela nasib anak muda,” tambahnya.

Semalam, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari membuat laporan polis berkenaan “pakatan jahat” antara pemimpin parti pemerintah berkaitan perjanjian persefahaman kerjasama, yang didakwa merosakkan dan memudaratkan demokrasi.

PH, BN, GPS, GRS, dan Warisan yang membentuk ‘kerajaan perpaduan’ menandatangani perjanjian itu kelmarin, menjelang usul undi percaya terhadap Anwar pada Isnin di Dewan Rakyat.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan Ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul-usul berkaitan dengan usul percaya, perbekalan, atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan, dikira meletak jawatan.

‘Cakap tak serupa bikin’, PKR bidas dakwaan Pemuda PN

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*