Seorang anggota tentera Gurkha British dikenakan perintah sekatan kerana taksub dengan isteri rakan sekerja dan mengganggu mangsa di media sosial, lapor akhbar Daily Star UK, semalam.
Sebuah mahkamah tentera mendengar kes melibatkan Sarjan Bamprasad Lumba yang menampilkan perasaan obses dan dan tidak wajar terhadap Kusum Thapa-Gurung dan menjadi penghendap dalam kehidupan wanita tersebut.
Bamprasad yang sudah berkahwin akan bertanya bila dia boleh datang untuk makan malam dan menelefon Kusum sebanyak 27 kali dalam tempoh empat bulan.
Lelaki itu juga gigih membuat profil baharu di media sosial untuk menghantar mesej kepadanya selepas disekat oleh Kusum pada mulanya.
Susulan aduan kepada polis tentera, Bamprasad mengakui salah atas pertuduhan melakukan gangguan antara September 2020 hingga Januari 2021. Dia turut diturunkan pangkat kepada Koperal dan dilarang daripada bertemu atau menghubungi Kusum.
“Mangsa dalam kes ini ialah isteri seorang lagi sarjan Gurkha yang tinggal dalam komuniti Gurkha dan anda berdua tinggal di jalan yang sama.
“Anda mewujudkan perasaan tidak wajar terhadap wanita ini dan mengganggunya dengan banyak mesej Facebook dan mesej Instagram dan khususnya 27 panggilan telefon.
“Dia pernah menjadi banduan di rumahnya sendiri kerana takut untuk keluar dan mengalami tekanan perasaan,” kata Hakim Robert Hill di Mahkamah Tentera Bulford, Wilts.
Suami Kusum berkhidmat dalam rejimen yang sama dengan Bamprasad.
Bamprasad daripada 94 Rejimen Logistik Gurkha bagaimanapun dalam kenyataan pembelaan memberitahu bahawa perasaan tersebut berbalas dan ia adalah hubungan sulit dua hala.
Turut baca
Leave a Reply