Gara-gara dikeluarkan daripada salah satu kumpulan di aplikasi WhatsApp, seorang lelaki didakwa tergamak menikam rakannya sendiri sampai mati.
Memetik laporan CNN Indonesia, insiden tersebut berlaku di Baleendah, Kabupaten Bandung di Jawa Barat, Indonesia pada Ahad lalu.
Ketua Polis Bandung, Pesuruhjaya Kusworo Wibowo berkata insiden itu bermula apabila suspek berang dan tidak berpuas hati kerana mangsa mengeluarkannya daripada kumpulan WhatsApp geng motosikal.
Selepas dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp, suspek menghampiri mangsa dan bertanya tentang perkara tersebut. Kemudian berlaku pergelutan sebelum suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau.
Memang setiap hari dia membawa (pisau) ke mana-mana dan apabila berlaku pergelutan, suspek segera mengeluarkan senjata tajamnya lalu menikam mangsa.
Mangsa berusia 29 tahun itu ditikam di bahagian kiri dada sehingga tertusuk ke jantungnya selain lengan dan jari juga turut tercedera.
Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan dan dilaporkan meninggal dunia manakala hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan koyak pada bahagian jantung mangsa.
Ekoran itu, suspek berusia 35 tahun tersebut bakal berdepan dengan hukuman 15 tahun penjara jika didapati bersalah.
Leave a Reply