{VIDEO} Lelaki larikan kereta dinaiki 6 murid lunyai dibeduk orang awam

SATU video tular di media sosial memaparkan seorang individu tidak dikenali dipukul orang awam dalam satu kejadian di Kundasang, Sabah pada Selasa.

Berdasarkan maklumat dikongsikan di Facebook Sabah First Info, lelaki berkenaan difahamkan terlibat dalam satu kes kecurian kereta Proton Persona berwarna kelabu.

Lebih mengejutkan lagi, cubaan curian itu turut melibatkan percubaan penculikan enam kanak-kanak yang difahamkan berada dalam kereta berkenaan.

Bagaimanapun, usaha tersebut berjaya dipatahkan apabila pelaku sempat ditahan pihak polis berdekatan Sekolah Kebangsaan Pinounsuk, Ranau, kira-kira 15 kilometer dari lokasi kereta itu dicuri.

Setelah kereta dicuri itu diberhentikan, kelihatan juga beberapa orang awam yang menaiki Proton Wira sempat membantu pihak berkuasa menahan individu terbabit.

Video pendek itu juga memaparkan dua daripada enam kanak-kanak merupakan pelajar sekolah keluar daripada kereta dicuri sambil menangis sebelum berlari ke kawasan selamat.

Berdasarkan komen, suspek sebenarnya hanya berniat mahu mencuri kereta berkenaan, namun tidak menyangka terdapat beberapa budak dalam kereta itu sebelum dibelasah orang awam yang berjaya menahan kenderaan terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung seorang lelaki cuba melarikan kereta Proton Persona yang turut membawa enam murid di dalam kenderaan berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek diberkas dan polis turut menerima maklumat mengenai video tangkapan pihak polis ke atas suspek yang tular di media sosial.

“Polis sedang menjalankan siasatan untuk memastikan tindakan dari sudut perundangan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Simiun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 365 kanun yang sama.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini bolehlah salurkan maklumat berkenaan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*