Bekas SU Sulit bekas Timbalan Menteri didakwa tipu tawaran projek kerajaan RM8 juta

Bekas Setiausaha Sulit yang pernah berkhidmat dengan seorang bekas Timbalan Menteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan memperdaya seorang lelaki berhubung tawaran tender projek kerajaan bernilai RM8 juta.

Tertuduh, Datuk Nasarudin Mahamud, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu lelaki berkenaan supaya mempercayai bahawa dia membuat urusan suatu tawaran tender projek kerajaan dengan harga RM8 juta dan dengan curangnya mendorong lelaki tersebut mempercayai tertuduh bertanggungjawab menguruskan projek itu.

Lelaki berkenaan memindahkan wang berjumlah RM382,000 ke dalam akaun milik tertuduh dan serahan wang tunai sebanyak RM67,000 yang mana dia tidak berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat Mukim Tampin Tengah antara 6 hingga 18 Oktober 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan mengikut Seskyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Eddin Syazlee Shith secara pro bono dan Syed Amirul Syed Edros.

Eddin Syazlee memohon mahkamah untuk mempertimbangkan beberapa keadaan antaranya kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan walaupun tidak boleh dijamin namun penipuan adalah dalam kategori paling rendah.

“Tertuduh melalui kehidupan yang sukar, baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) berpindah ke hospital kerajaan, menghadapi kesulitan membayar bil di IJN. Tertuduh mempunyai masalah jantung yang kritikal yang memerlukan urusan segera bagi menjalani pembedahan.

“Tertuduh juga mempunyai penyakit buah pinggang tahap empat. Keadaan ini menyebabkan tertuduh memerlukan kebenaran jaminan untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Untuk rekod saya menawarkan diri secara probono tanpa bayar,” katanya.

Syed Amirul pula dalam rayuannya menyatakan tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada polis berhubung kes ini dan tidak wujud keadaan risiko tertuduh melarikan diri.

“Tertuduh mengalami kesukaran kewangan dan mohon jaminan paling minimum,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*