Bekas pegawai kanan tentera lakukan hubungan intim dengan isteri orang undang padah

Seorang bekas pegawai kanan tentera dikenakan denda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memikat wanita yang sudah bersuami sehingga melakukan hubungan intim, enam tahun lalu.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmi Ali, 48, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda. Denda itu dijelaskannya.

Tertuduh yang didakwa pada 28 September 2020 menukar pengakuan kepada bersalah sebelum fakta dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa dengan niat jenayah memikat wanita yang sudah bersuami berumur 44 tahun (ketika kes disebut pada 2020) sehingga melakukan persetubuhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tempat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada awal tahun 2016.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika mahkamah bersidang, pihak pendakwaan mengemukakan sijil nikah dan sijil cerai wanita itu dan suaminya sebagai eksibit.

Selain itu, tangkap layar perbualan tertuduh dan wanita itu mengandungi ungkapan mesra turut dikemukakan dan diperdengarkan di mahkamah.

Mengikut fakta kes, pengadu telah kahwin dengan wanita itu pada 4 Jun 2005 dan mereka menetap di Seri Kembangan di sini.

Pengadu telah membaca mesej dalam aplikasi WhatsApp antara wanita itu dengan tertuduh, mengandungi kandungan kemesraan yang melampau.

Sementara itu, peguam Azman Zakaria yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengguna pakai Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah.

Ujar peguam bela, anak guamnya dinasihatkan menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas berkhidmat selama 28 tahun.

Katanya, Azmi yang sebelum ini menganggur baru memperoleh pekerjaan sebagai pegawai keselamatan dengan gaji RM4,500.

“Tertuduh kesal dengan perbuatannya dan mahukan kes ini selesai secepat mungkin. Anak guam saya menjaga ibu berusia 67 dan bapa berumur 73 yang menghidap dementia,” ujar Azman.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md. Kamal memohon mahkamah meneliti kes itu dan kesannya kepada pengadu (suami wanita itu) sehingga menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh.

Ujar pendakwa, pengadu terpaksa pulang ke kampungnya di Terengganu selepas rumah kelamin yang mereka duduki dijual manakala perniagaan yang diusahakannya ‘gulung tikar’.

“Pengadu juga terpaksa bergelut dengan kos guaman kes penceraiannya dan sedang menjalani rawatan akibat kemurungan yang serius,” ujar Siti Maryam.

Pendakwa turut memohon perintah bon di bawah Seksyen 294 ditolak kerana ia tidak wajar.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*