Seorang bekas anggota polis yang sudah dibuang kerja diberkas Jumaat lalu kerana disyaki menggunakan uniform pasukan itu untuk melakukan jenayah di sekitar ibu negara.
Difahamkan, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan anggota unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang sedang membuat rondaan berhampiran Plaza Tol Duta, di Kuala Lumpur.
Terdahulu, satu klip video berdurasi 14 saat tular di media sosial memaparkan suspek yang memakai pakaian seragam lengkap dengan pangkat koperal dan vest Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan dua anggota MPV terbabit.
Difahamkan suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha cuba menahan sebuah kereta bagi tujuan ‘pemeriksaan’ sebelum kelakuannya yang mencurigakan itu dikesan anggota yang sedang membuat rondaan.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi berkata suspek adalah bekas anggota polis yang sudah dibuang kerja.
“Ini kes menyamar sebagai anggota polis yang mana suspek berkenaan adalah bekas anggota yang sudah dibuang kerja pada tahun 2022.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply