Bapa ‘video call’ Ziana Zain ketika konsert curi tumpuan ramai

Bapa penyanyi Ziana Zain iaitu Zain Abdullah mencuri perhatian ramai apabila membuat panggilan video dengan anaknya ketika membuat persembahan pada Ziana Zain Konsert 2024 di Mega Star Arena di sini, semalam.

Menurut Ziana, 56, panggilan video sebegitu bukan perkara aneh sepanjang bergelar artis kerana bapanya tidak pernah terlepas daripada mengambil berat tentang karier seni anak-anak sehingga ke hari ini.

Meskipun saya sudah berusia 56 tahun, abah sentiasa akan pantau setiap perkara berkaitan kerjaya seni.

“Boleh bayangkan pada usia sekarang, seorang ayah yang sudah berumur 83 tahun akan sentiasa ‘check‘ keadaan anaknya.

“Betapa prihatin dan risaunya ibu dan bapa pada saya,” katanya pada sidang akhbar selepas konsertnya di sini, semalam.

Ujar Ziana, bapanya sangat gembira dan teruja melihat dia membuat persembahan solo di pentas semalam.

Dia orang paling gembira melihat saya mengadakan persembahan. Walaupun berada di rumah, dia tetap memantau dan akan ambil tahu apa yang berlaku di sini.

“Perkara paling awal dia akan tanya ialah siapa melakukan solekan dan busana pereka fesyen mana yang saya gayakan pada malam ini.

“Saya tak pernah merasakan kerisauan abah sebagai satu beban ditambah pula dia memang selalu akan menangis dan sentiada berdoa agar anak-anaknya mencari rezeki halal serta dipermudahkan segala urusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kehadiran ramai peminat dari beberapa negara lain seperti Brunei dan Singapura membuatkan dirinya sangat dihargai.

Saya sangat terharu dengan setiap sokongan daripada peminat lebih-lebih lagi ada yang ‘terbang’ dari pelbagai negara lain.

“Kehadiran mereka juga merupakan satu apresiasi paling besar buat saya sebagai seorang penyanyi,” ujarnya lagi.

Semalam, Ziana menghiburkan lebih 5,000 pada konsert yang berlangsung selama tiga jam itu menerusi 20 buah lagu popularnya.

Antara lagu popular yang didendangkan ialah Madah Berhelah, Berpisah Jua, Kemelut Di Muara Kasih dan Anggapanmu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*