Tindakan pasangan viral menghilangkan diri mengecewakan banyak pihak

PASANGAN tular yang meraih perhatian seluruh negara kerana membawa bayi lelaki berusia 11 bulan menunggang motosikal dengan memakai alat pernafasan yang di Alor Setar, Kedah baru-baru ini dipercayai sudah menghilangkan diri.

Usaha menghubungi mereka tidak berjaya kerana kedua-duanya tidak menjawab panggilan. Malah mereka juga mematikan talian telefon dipercayai agar tidak dapat dihubungi.

Tindakan kedua-dua pasangan itu, Mohd Azlan Ishak, 35, dan Norhidayu Halim, 35, mengecewakan ramai selepas banyak pihak tampil memberikan sumbangan sejurus kisah sedih mereka tular di Facebook.

Ia termasuk selepas tindakan seorang pengusaha kereta terpakai, Firdaus Shariffudin, 36, yang sanggup menghadiahkan Proton Persona bernilai RM18,000 kepada mereka.

Sementara itu, Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi, Seberang Kota Kuala Kedah, Muhammad Hazamer Mualim memaklumkan pihaknya turut memantau kawasan rumah lelaki berusia 35 tahun itu namun didapati dia gagal dikesan.

“Hanya ibunya yang menghidap angin ahmar berada di rumah itu seorang diri namun dipantau oleh jiran berhampiran.

“Pejabat Agama Daerah sudah memberi kebenaran supaya saya memaklumkan kepada pasangan itu untuk menyerahkan dokumen bagi memudahkan proses pernikahan dijalankan.

“Namun sehingga ini, saya tidak menerima apa-apa dokumen daripada mereka dan mereka dipercayai sudah menghilangkan diri,” katanya.

Jelas Muhammad Hazamer lagi, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menikahkan mereka tetapi perlu menyediakan dokumen lengkap sebelum melaksanakannya.

Muhammad Hazamer sebelum ini membuat pendedahan mengenai status Mohd Azlan dan Norhidayu adalah bukan suami isteri sah yang ternyata mengejutkan warga maya hingga timbul bermacam andaian negatif terhadap mereka.

Timbul juga beberapa dakwaan warga maya turut mendedahkan pasangan terbabit telah lama memperdaya orang ramai untuk mendapatkan sumbangan wang sejak 2016.

Terdahulu, dilaporkan orang ramai di laman media menggesa agar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil membela nasib bayi tersebut.

Meraih simpati bermodalkan penyakit kronik bayinya, kedua-dua pasangan berkenaan dipercayai pernah menerima bantuan daripada pelbagai pihak sejak beberapa tahun lalu namun masih belum mencukupi sehingga ke hari ini.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*