Asyik tak cukup duit, isteri mahu ‘pulangkan’ suami kepada mentua

Seorang wanita mahu memulangkan suaminya kepada ibu mentua selepas lelaki itu sering memberi alasan tidak cukup duit bagi perbelanjaan keluarga, sedangkan mereka berdua memperolehi jumlah gaji yang sama masing-masing sekitar RM6,115.14.

Ekoran alasan lelaki itu, akhirnya wanita itu terpaksa mengeluarkan bayaran lebih untuk keluarga sekali gus dia merasakan seolah-olah dipergunakan oleh suaminya untuk perbelanjaan dan tanggungan bulanan.

Luahan hati wanita itu tular di media sosial serta mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai, termasuk ada yang menyokongnya untuk memulangkan lelaki itu kepada ibu mentuanya.

“Boleh tak kalau saya nak pulangkan semula suami saya kat mak dia? Saya dah letih menabur bakti untuk anak dan suami saya. Saya rasa macam dipergunakan, gaji kami berdua saya.

“Tapi saya bayar yuran anak pertama (RM350), anak ketiga (RM105) dan anak keempat (RM300). Bahan basah (RM300), kereta dua (Honda dan Suzuki) RM2,000, kutu RM200 (untuk ‘roadtax’ kereta dua buah) selain pinjaman rumah saya (dalam proses rumah siap 2023) RM350. Selain itu, makan minum anak-anak setiap hari saya keluarkan duit.

“Kalau tak masak dan makan di kedai, macam dah jadi tanggungjawab saya pula bab makan anak-anak. Baju anak-anak juga duit saya. Kadang-kadang nak berjalan hotel, minyak semua duit saya. Ada juga duit suami, tapi lebihnya daripada saya. Suami tak pernah lagi ajak berjalan atau dia ‘sponsor’ semua, tak pernah,” katanya pada luahan itu.

Wanita itu berkata, lebihan gajinya juga perlu membayar hutang kad kredit, berbelanja di pusat beli-belah selain duit minyak ulang-alik ke tempat kerja.

“Duit pada ibu saya tak beri sebab ibu saya sudah menerima pencen ayah. Nafkah RM500 suami beri pada saya, itu pun kadang-kadang beri balik dia RM100 atau RM200 bila dia dah kering,” katanya.

Dalam pada itu, dia berkata, bayaran dibuat suaminya daripada gaji yang diterima lelaki itu hanya melibatkan pinjaman RM600, rumah RM1,500 selain untuk ibu mentua RM500 dan yuran anak kedua iaitu RM400.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*