Tak puas hati agihan untung, wanita langgar rakan kongsi sebelum tikam 15 kali

Seorang peniaga wanita ditemukan mati dengan 15 kesan tikaman pada badan dalam kejadian berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu, pagi tadi.

Mangsa berusia 65 tahun sebelum itu dipercayai dilanggar oleh suspek wanita yang juga rakan kongsi perniagaannya. Mayatnya ditemui di dalam longkang oleh pengawal keselamatan pada 4.35 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Mazli Mazlan, berkata sebelum kejadian mangsa dan suspek berusia 35 tahun menaiki kenderaan jenis Honda Jazz serta berlaku pertengkaran antara mereka.

“Mangsa dikatakan keluar dari kenderaan sebelum suspek yang juga seorang tukang jahit bertindak melanggar mangsa. Suspek kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan bertindak menikam mangsa sebelum meninggalkan lokasi dengan menumpang sebuah van.

“Dia berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang, kira-kira 11 pagi,” katanya pada sidang media di IPK Terengganu, menurut Harian Metro.

Mazli berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca rasa tidak puas hati mengenai agihan keuntungan perniagaan pakaian dan tudung diusahakan mereka sejak lima tahun lalu.

Katanya, polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang dibuang suspek berhampiran rumahnya.

“Honda Jazz yang ditinggalkan di lokasi kejadian adalah milik suami suspek dan selepas kejadian itu, suspek dikatakan menahan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan untuk pulang ke rumah.

“Mayat dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*