Anwar sampaikan khutbah Jumaat di New York 22 September ini

Bakal tercipta satu sejarah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan khutbah solat Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), 22 September ini.

Jemputan menyampaikan khutbah itu bakal mencatatkan rekod sebagai pemimpin negara luar pertama yang diberi penghormatan menyampaikan khutbah di masjid ICCN.

Pusat ibadat itu juga bersejarah kerana merupakan masjid pertama dibuka di kota New York pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan perkara itu ketika sidang media bersama wartawan Malaysia di Pejabat Wakil Tetap Malaysia di New York, petang semalam.

Menurutnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan Perdana Menteri akan berada di New York pada 20 hingga 23 September sempena Perhimpunan Agung PBB (Unga) ke-78.

Ahli Parlimen Tambun itu akan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut serta Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Speaker dewan undangan negeri, timbalan ketua menteri dan ahli Parlimen serta pegawai kanan kerajaan dari kementerian yang berkaitan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*