Anggota, pegawai polis dapat ‘komisyen’ lindungi ahli Ayahanda Harimau Kumbang

KUALA TERENGGANU: Seramai 14 anggota dan pegawai polis yang ditahan kerana terlibat dalam pertubuhan haram, Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) Jumaat lalu dipercayai mengaut keuntungan di sebalik kegiatan kekerasan kumpulan tersebut sejak 2021.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, keuntungan yang diperoleh daripada kegiatan haram itu menjadi dorongan kepada anggota polis terbabit bertindak menjadi orang tengah kepada AHK.

Katanya, ahli pertubuhan terbabit dilindungi anggota dan pegawai polis dengan menampal pelekat kereta berlogo AHK bagi memastikan kenderaan tidak dikenakan tindakan walaupun terlibat dalam jenayah dan melakukan kesalahan undang-undang jalan raya.

“Berdasarkan maklumat dan siasatan awal, ahli AHK yang ditangkap dipercayai menggunakan unsur kekerasan seperti ‘ah long’ ketika menarik kereta dan mengutip hutang.

“Polis masih menjalankan siasatan sumber dana pertubuhan haram ini dan kami percaya anggaran ahli AHK sekitar 200 sehingga 300 orang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Semalam, media melaporkan pegawai berpangkat inspektor antara 14 anggota polis yang ditahan reman dipercayai terlibat pertumbuhan kongsi gelap AHK dalam Op Selendang, Jumaat lalu.

Kesemua 14 anggota dan pegawai polis itu merupakan antara 21 individu ditahan berusia antara 20 tahun hingga 49 tahun.

Mereka ditahan dalam operasi khas tersebut yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman di sebuah rumah di Dungun.

Rohami memberitahu, kesemua anggota dan pegawai polis itu bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kuala Terengganu serta Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Tambahnya, daripada 14 anggota dan pegawai polis yang dicekup, dua masih ditahan reman sehingga hari ini.

“Seramai 10 anggota dan pegawai terlibat ditahan kerja bermula dan dua lagi menunggu tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau memberitahu, ketua kumpulan yang juga seorang peniaga berusia 39 tahun sudah dicekup, selain turut merampas lapan bilah senjata tajam, lapan buah kenderaan dan 28 unit telefon bimbit.

“Beberapa naskhah al-Quran, selendang dan kain kafan turut ditemukan ketika serbuan dipercayai bagi upacara ritual angkat sumpah taat setia ahli pertubuhan terbabit.

“Semua suspek kini sedang disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Orang ramai tidak perlu gentar dan boleh membantu polis dengan memberi maklumat teus kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Terengganu atau balai polis berhampiran,” katanya.

Anggota, pegawai polis dapat 'komisyen' lindungi ahli Ayahanda Harimau Kumbang

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*