Rakaman video tular menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi diterbalikkan orang ramai didakwa kerana mereka diejek pemandu kereta tersebut.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Akmal, 26, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pada pukul 10.15 malam semalam.
Menurutnya, kejadian bermula apabila pemandu kereta Perodua Myvi itu bertindak melanggar lampu merah ketika di simpang empat Jalan Kota Masai 2, di sini.
“Kereta berkenaan tidak berhenti dan terus mengambil selekoh, pada masa sama penunggang motosikal terbabit sedang berjalan terus dengan agak laju.
“Kedua-dua kenderaan gagal mengelak menyebabkan mereka bertembung. Akibat itu, penunggang motosikal yang juga merupakan seorang penghantar makanan mengalami kecederaan patah kaki.
“Pemandu itu cuba melarikan diri tetapi laluan terhalang menyebabkan dia memasuki stesen minyak berhampiran, sebelum dia dikerumuni orang ramai,” katanya kepada pemberita.
Tambah Akmal, tidak lama kemudian dua kereta peronda polis tiba dan membawa pemandu kereta itu ke kereta peronda dipercayai untuk memastikan keselamatannya.
“Namun apabila berada di dalam kereta peronda polis, pemandu terbabit bertindak mengejek orang ramai menyebabkan mereka berasa geram dan marah.
“Itu punca segelintir pihak bertindak memecahkan cermin tingkap kereta berkenaan menggunakan topi keledar sebelum beberapa individu lain menterbalikkan kereta itu,” katanya yang sudah tiga tahun menjadi penghantar makanan.
Sementara itu, beberapa rakaman video tular sejak lewat malam semalam menunjukkan sekumpulan pemuda bertindak memecahkan cermin kereta Perodua Myvi sebelum kereta itu diterbalikkan.
View this post on Instagram
Leave a Reply