Misteri air yang menitis di bilik sewa

Misteri air yang menitis di bilik sewa. KISAH yang ingin saya ceritakan ini berlaku pada tahun 2007, sewaktu saya berhijrah meninggalkan kampung setelah mendapat posting untuk mengajar di Kuala Lumpur.

Saya menyewa bilik di sebuah apartmen berhampiran Ampang, Kuala Lumpur. Dapat kawan-kawan serumah yang satu kepala membuat hati saya lega dan seronok tinggal di apartmen lima tingkat itu, yang penghuninya kebanyakannya orang Melayu.

Tetapi, lebih kurang dua minggu tinggal di situ, saya mula mengalami keadaan aneh. Saya sering terdengar bunyi air menitik pada lewat malam.

Tik… Tik… tiikkk… ttiiiikkk…

Bunyi titisan air itu jatuh begitu lambat. Seperti paip yang sudah ditutup, tapi masih ada satu tiris kecil menyebabkan air itu terkumpul perlahan-lahan pada muncung paip. Selepas lama terhimpun, terbentuk satu titis air, makin lama makin besar dan akhirnya gugur ke lantai.

Bunyi titisan itu tidak saya gemari. Ia mengganggu tidur saya. Saya mula terfikir, takkanlah itu bunyi air jatuh ke dalam tangki, sebab rumah yang kami sewa itu di tingkat tiga, bukannya tingkat empat yang terletak di atas sekali. Lagipun, di atas bilik saya bukannya ada tangki air. Yang ada ialah rumah penghuni lain.

Pernah saya bangun dan pergi ke dapur. Mungkin paip di singki tak ditutup rapat agaknya. Tetapi setelah diperiksa ternyata andaian itu silap. Tiada air yang menitis dari muncung paip singki dapur.

Kalau begitu mungkin di bilik air. Tapi, setelah saya periksa paip di bilik air juga tertutup rapat. Di dalam tandas pun begitu. Saya jadi bingung. Kalau begitu, bunyi air menitis itu datang dari mana?

Esoknya saya ceritakan perkara itu pada Nina dan Mila, dua rakan serumah saya. Namun, mereka tidak mendengar bunyi titisan air tersebut. Mereka sarankan saya bertanya kepada penghuni yang tinggal di tingkat atas rumah kami.

Saya naik berjumpa penghuni di atas rumah sewa kami. Pun demikian, mak cik yang tinggal di situ mengatakan tidak mendengar sebarang bunyi titisan air. Baik di bumbung, dapur, bilik air dan tandas. Paip di rumah mereka tidak rosak dan tidak tiris.

Bingung saya memikirkannya. Habis, air dari mana yang mengganggu tidur saya?

Bagi mengelakkan diri daripada mendengarnya, setiap kali terjaga, saya tekapkan earphone ke telinga. Habis cerita. Pernah saya ajak Nina dan Mila tidur di bilik saya. Tapi bunyi air itu macam tahu pula, ia tidak menitis walau setitik pun. Seminggu Nina dan Mila tidur di bilik saya, seminggu itulah air itu tidak menitis. Tetapi sebaik mereka tidur di bilik masing-masing, bunyi titisan air itu kembali lagi.

Untuk mengatasinya, saya bertukar bilik dengan Mila. Anehnya, bunyi itu kedengaran lagi. Begitu juga apabila saya bertukar bilik dengan Nina. Bunyi air menitis itu bagaikan mengekori ke mana saja saya pergi. Sedangkan, dua kawan serumah saya itu tidak mendengarnya walau sekali pun sepanjang mereka tidur di bilik saya.

Selepas beberapa bulan begitu, suatu pagi saya terhidu bau yang agak busuk di dalam bilik berserta aroma seperti kapur barus. Saya dapati bau itu datangnya dari tompokan air di lantai berhampiran pintu bilik.

Saya beritahu Nina dan Mila. Kami cuci lantai itu. Walaupun sudah bersih tetapi baunya tidak hilang. Lantai saja bersih, tapi bau kapur barus itu masih berlegar-legar di dalam bilik saya, walaupun tidak sekuat sebelumnya.

Dari mana datangnya air itu? Kami lihat bumbung bilik saya yang juga lantai kepada penghuni rumah atas. Pada bumbung yang bercat putih itu ada tompokan sebesar muka piring, warnanya kekuningan. Letaknya betul-betul di atas tompokan air yang berbau busuk tadi. Tompokan itu sudah kering, seperti sudah lama.

Saya ditemani Nina pergi ke rumah mak cik yang tinggal di tingkat atas. Kami ingin beritahu, mungkin ada paip air di dalam lantai biliknya bocor. Tapi apabila kami tanyakan perkara itu kepada penghuni yang kami panggil Mak cik Halimah itu, dia segera menafikannya. Malah kata suami mak cik itu yang kami panggil Pak cik Minhat, tidak ada saluran paip dalam lantai bilik mereka. Sebab saluran paip itu hanya di bahagian dapur dan bilik air saja.

Ya tak ya juga apa yang dikata Pak cik Minhat itu. Habis tu, dari mana datangnya air kekuningan dan berbau busuk serta kapur barus tadi?

Setelah saya ceritakan panjang lebar apa yang berlaku, Mak cik Halimah dan suaminya kelihatan saling berpandangan. Kemudian, mereka macam bertelagah. Seorang berkata, `mungkin sebab benda tu,’ dan seorang lagi berkata, `takkan sebab tu pulak… benda tu dah lama.’

Benda apa? Saya dan Nina jadi pelik. Ini menyebabkan kami mahu tahu apa cerita sebenarnya.

Setelah agak lama mereka `berbincang’, akhirnya Mak cik Halimah membuka cerita yang mengejutkan kami. Menurutnya, mereka bukan pemilik rumah tersebut. Mereka hanya menyewa sahaja.

“Pak cik kerja guard, mak cik pulak tukang cuci saja. Kami bukan orang senang. Kami sewa rumah ni sebab tuannya kasi harga murah.

“Kenapa murah? Kami tak tahulah sama ada benda ni ada kaitan dengan apa yang terjadi pada kamu, tapi mengikut jiran-jiran yang lama tinggal di sini, sebelum kami menyewa, ada seorang penghuni meninggal dalam rumah ni,” cerita Pak Cik Minhat.

Katanya, si mati itu lelaki, berusia pertengahan 60-an dan tinggal seorang diri selepas isteri dan anak perempuan tunggalnya meninggal dunia. Apabila tinggal seorang diri, tiada siapa uruskan lelaki itu. Sudahlah badannya agak gemuk, lelaki itu juga tidak sihat dan menghidap pelbagai penyakit.

“Suatu hari jiran-jiran terhidu bau busuk dari rumah ni. Rumah ni terkunci daripada dalam, tapi lampunya menyala sepanjang masa. Sebelum tu, dah lama jiran-jiran tak nampak kelibat lelaki tu,” kata Pakcik Minhat.

Jiran-jiran kemudian sepakat memanggil polis untuk memecah masuk ke dalam rumah tersebut. Apabila pintu dipecahkan, mereka terhidu bau yang sangat busuk manakala lelaki tua itu terbaring di depan pintu biliknya yang terbuka luas. Dia sudah meninggal dunia.

Keadaan mayatnya menyedihkan. Ia sudah mula hendak mereput kerana telah lebih seminggu meninggal dunia. Air di dalam badannya juga sudah keluar dari lubang serta rongga-rongga badan. Disebabkan lelaki itu gemuk, air yang keluar juga banyak.

“Bila lama terkumpul di satu tempat, air yang keluar dari badan tu menyerap ke dalam lantai dan kemudian menitis hingga ke bumbung bilik rumah bawah yang kamu duduk sekarang ni. Untuk pengetahuan kamu, dulu rumah yang kamu duduk tu didiami oleh tuan punya rumah tu.

“Macam kamu juga, tuan rumah tu terkejut bila nampak ada air yang berbau menitis dari bumbung biliknya. Dia ingatkan paip rumah atas bocor, tapi bila dia naik, dia tengok rumah berkunci, sedangkan lampunya terpasang walaupun dah tengah hari. Dari situlah dia dan jiran-jiran panggil polis untuk pecahkan rumah arwah,” panjang lebar Pak cik Minhat bercerita kepada kami.

Kalau macam tu, air yang menitis ke dalam bilik saya selama ini…?

Serta merta bulu roma saya meremang. Tapi, kenapa air kekuningan itu masih menitis sampai sekarang? Bukankah kejadian itu sudah lama berlaku?

“Itulah pak cik pun tak tau nak jawab. Mungkin sisa-sia air dari mayat arwah masih ada lagi bertakung dalam lantai tu. Tapi satu cerita yang pak cik dengar, tuan rumah yang kamu duduk tu pun ada alami benda yang sama.

“Walaupun dah lima enam bulan arwah meninggal, ada waktu-waktunya air itu menitis dari bumbung biliknya. Dia simen dan cat semula, tapi air itu akan menitis juga. Kalau tak menitis pun, akan muncul kesan lembap kekuning-kuningan di tempat yang sama, berserta bau yang kurang menyenangkan. Sebab itulah dia pindah dah sewakan rumah tu,” jawab Pak cik Minhat.

Bukan itu aja, ada waktu-waktunya tuan rumah yang saya diami akan terdengar bunyi orang berjalan atau mengalih perabut di rumah arwah, sedangkan rumah berkenaan terbiar kosong selepas arwah meninggal.

Pak cik Minhat dan mak cik Halimah pun sebenarnya kadang-kadang terdengar bunyi seperti ada orang di dalam rumahnya. Ada ketikanya mereka dengar bunyi orang mandi, orang batuk dan berjalan dalam bilik, tapi apabila dijenguk, tidak ada sesiapa.

“Mula-mula dulu takut juga, tapi lama-lama dah tak kisah. Yang penting sewa rumah ni murah, itu saja yang kami mampu. Lagi pun kenapa kita nak takut dengan `benda tu’, kan? Yang kita kena takut hanya Allah s.w.t. saja, betul tak?” kata Pak Cik Minhat.

Kisah yang diceritakan pakcik Minhat itu turut diakui oleh jiran-jiran terdekat. Saya masih terus tinggal di bilik itu setelah tahu cerita itu, dan saya masih terdengar bunyi air menitik.

Bumbung bilik tidur saya juga masih lembab dengan cecair kekuningan. Cuma ia bukan berlaku setiap hari, tetapi pada waktu-waktu tertentu yang sukar hendak diduga. Ada kalanya sekali sebulan, kadangkala sekali dalam masa dua tiga bulan baru bunyi titisan itu muncul.

Saya hanya tinggal di situ tak sampai dua tahun. Pada tahun 2009, saya berpindah keluar setelah mendirikan rumah tangga.

Selepas saya keluar, tiada sesiapa yang berani tidur dalam bilik saya. Nina dan Mila juga berpindah tidak lama kemudian. Selepas itu saya tidak tahu, apakah ada orang menyewa apartmen tersebut atau terbiar kosong.

Saya tertanya-tanya juga, jika ada orang lain yang menyewa di situ, apakah mereka juga mendengar bunyi titisan air air tersebut?

**Kisah di atas diceritakan oleh Nurul Aqila dari Perak.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*