Pilu !!! Anak minta telekung putih, bapa tak sangka petanda ajal

Pilu !!! Anak minta telekung putih, bapa tak sangka petanda ajal.

Istiadat Konvokesyen ke-23 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bersidang pada hari ketiga menyaksikan suasana hiba menyelubungi ruang Dewan Tuanku Canselor apabila pengumuman penerima anugerah anumerta disampaikan kepada waris seorang graduan cemerlang.

Penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan kepujian dianugerahkan secara anumerta, Allahyarhamah Nur Diyana Mohamad Fauzi, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 22 Disember 2021 lalu, disampaikan oleh Pro Canselor Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom kepada waris yang juga bapa kandung Mohamad Faouzi Megat, 54.

Menurut Mohamad Fouzi, Nur Diyana merupakan anak yang baik dan suka pada persaingan serta sering mencabar diri mengikut rentak persekitaran sekeliling.

“Bertugas sebagai penjawat awam beruniform, hidup berpindah randah merupakan lumrah. Suatu ketika dahulu ketika zaman remajanya, sekian lama kami tinggal di sebuah daerah utara tanahair, kami berpindah ke Lembah Klang atas tuntutan tugas.

“Menyedari persekitaran kepesatan di kawasan bandar yang amat pantas, dia tidak mahu ketinggalan pelajaran. Maklumlah, perbezaan suasana belajar antara luar dan dalam bandar agak ketara.

“Dia akan berusaha dengan gigih dan buktikan dia mampu suaikan diri. Sebagai contoh, sebelum ini dia tidaklah begitu pandai dalam subjek Bahasa Inggeris, namun dengan semangat yang tinggi, dia memperoleh keputusan cemerlang subjek tersebut dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” jelasnya sambil menyeka air mata.

Menurut Mohamad Fouzi lagi selepas tamat SPM, Nur Diyana menyambung pengajian dalam bidang sains di Kolej Matrikulasi Pengkalan Balak, Melaka dan mencapai keputusan amat membanggakan dengan pencapaian pointer 4.00 selama dua tahun berturut-turut.

Ibu arwah, Dalila Abu Bakar, 49, ketika ditemui pula tidak mampu menahan sebak sambil menyifatkan anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini cukup pandai mengambil hati keluarga dan amat berdikari.

“Pemergian arwah amat memilukan hati kami sekeluarga. Sepanjang hayatnya dia tidak pernah membebankan kami dengan meminta duit belanja. Setiap kali tiba waktu cuti sekolah ataupun semester, dia akan buat kerja sambilan mengambil upah bekerja di pusat asuhan kanak-kanak mahupun berjaja makanan atau pakaian,” jelasnya.

Turut baca :

Menurut Dalila lagi, sungguhpun mendapat keputusan cemerlang dalam bidang sains, jiwa anaknya yang penuh dengan ihsan kepada anak-anak kecil dan suka membantu masalah terutama rakan-rakan sebayanya yang berdepan konflik kehidupan mendorong dia mendalami bidang bimbingan kaunseling.

“Pernah, dia membantu masalah rakan sebaya yang berhadapan masalah sosial yang agak serius hingga kemelut konflik terlerai dengan baik. Tambah dorongan yang ada daripada guru kaunselingnya lagi, Nur Diyana tidak menoleh kebelakang, terus menyambung pengajian yang diminatinya iaitu bimbingan dan kaunseling di UPSI.

“Nur Diyana bijak memikat hati kami dengan bakatnya yang pandai memasak. Ada saja resepi biskut dicuba, malah setiap kali tiba hari lebaran, dia akan menyiapkan juadah rendang daging campur Jawa yang dipelajarinya sendiri hingga menjadi buah mulut kepada setiap tetamu yang datang ziarah.

“Sungguhpun usianya masih muda, dia sangat menjaga silaturahim dengan sesiapa saja. Tidak berdendam walaupun ada orang pernah melakukan khianat padanya. Malah, dia pula menghulurkan tangan persahabatan dan berkawan baik hingga ke akhirnya,

“Setiap kali ada ahli keluarga ditimpa musibah seperti penyakit misalnya, dia akan tawar diri untuk menjadi penjaga. Dijadikan cerita, seakan saya pula digilirkan ditimpa penyakit hingga perlu dibedah di hospital pada 3 Disember lalu, maka dia jugalah yang akan menggalas tanggungjawab pemandu berulang alik ke Hospital rawatan cuci luka saya setiap hari,” cerita ibunya menahan sebak.

Kira-kira beberapa minggu kemudian, Nur Diyana mengadu sesak nafas, mengalami batuk-batuk dan selesema. Apabila mendapat rawatan allahyarham pulih kembali sehingga mampu berjogging, tetapi tidak lama selepas itu kesihatannya makin merosot, mengadu tidak larat berjalan dan dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas dan meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

Emosi Dalila jadi terkesan kerana kehilangan anak sekelip mata, kira-kira dua minggu selepas dia dibedah.

“Lebih menyayat hati kami kira-kira dua bulan sebelum meninggal, ayahnya memberi sedikit duit belanja untuk membeli telekung. Pada asalnya kami bercadang untuk memilih warna hitam dan emas, warna kegemaran saya namun tidak semena-mena arwah tak setuju dan berkeras memilih untuk pilih warna putih. Katanya jika kita meninggal dunia, tiada kami tiada telekung warna putih untuk dipakai membalut tubuh jika sudah jadi jenazah nanti,” cerita Dalila.

Pada mulanya dia tak setuju, tetapi arwah agak berkeras mahukan telekung berwarna putih juga, maka dipenuhi juga permintaan anak kesayangannya itu. Mereka langsung tak sangka, rupa-rupanya permintaan tersebut adalah petanda ajal Nur Diyana. Sungguhpun jiwanya luluh, namun reda dengan suratan ajal yang telah tertulis buat mereka.

Keputusan cemerlang 3.86, pelajar yang aktif di fakulti dan disenangi rakan-rakan – Dekan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) Profesor Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim menyifatkan arwah merupakan seorang mahasiswi yang terlibat aktif sebagai ahli jawatankuasa dalam persatuan pelajar seperti Persatuan Bimbingan dan Kaunseling UPSI (KASIH) dan sering memberi sumbangan dalam aktiviti berkaitan pelajar.

“Saya juga mendapat maklumat daripada rakan-rakan tenaga pengajar yang juga para pensyarahnya bahawa arwah pandai seimbangkan masa dalam akademik mahupun aktiviti kokurikulum. Buktinya hari ini, keputusan arwah cukup cemerlang dengan pointer 3.86,” jelasnya ketika ditemui.

Menurut Abdul Mutalib lagi arwah amat menjaga hubungannya dengan rakan-rakan sekampus dan menyifatkan kehilangannya amat dirasai oleh rakan-rakan dan pihak fakulti.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*