Akaun keldai (mule account) adalah akaun yang digunakan oleh penipu dalam talian untuk memindahkan wang, dan selalunya, pemilik akaun sedar akaun mereka digunakan oleh pihak ketiga yang membayar mereka.
Namun, ketika polis mengetuk pintu rumahnya dan mendakwa akaunnya digunakan dalam sindiket penipuan, seorang ibu muda, Jasmine*, tidak tahu menahu mengenainya. Tidak lama kemudian, dia terpaksa mengharungi episod ditahan di dalam lokap. Ini kisahnya seperti yang diceritakan kepada DANIA KAMAL ARYF.
Saya ada sebuah syarikat, tempat saya dan suami cuba menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Perdagangan mata wang kripto masih baru ketika itu. Masih tidak ada peraturan mengenainya, jadi anda tidak perlu mendapatkan apa-apa kelulusan untuk dagangan itu di Malaysia.*
Ia sah. Kami dapatkan sedikit Bitcoin untuk didagangkan dengan sesiapa yang berminat untuk mendapatkan wang tunai.
Suami saya ada latar belakang kewangan dan dia sentiasa memastikan sebarang perniagaan yang kami lakukan mengikut undang-undang. Jadi dia akan minta orang yang membeli Bitcoin daripada kami untuk beri maklumat peribadi mereka serta salinan kad pengenalan (IC).
Kami mendapat banyak transaksi, ada melibatkan ratusan ribu ringgit, ada juga dalam ratusan ringgit sahaja. Dalam dunia mata wang kripto, jumlah sebegitu dianggap sangat kecil. Mengambil kira hal tersebut, suami saya tidak meminta salinan IC dari pembeli kecil-kecilan.
Kami mencuba selama beberapa minggu, tetapi kami dapati ia bukanlah perniagaan yang berdaya maju, jadi kami beralih ke perkara lain pula.
Setelah setahun setengah kemudian, salah satu transaksi daripada perniagaan lama itu kembali untuk menghantui hidup kami.
Ditahan atas tuduhan menipu
Tiba-tiba, saya terima panggilan dari seorang pegawai polis, mendakwa saya disiasat kerana terbabit dalam sindiket penipuan. Pada mulanya, saya ingatkan panggilan itu adalah Macau scam, iaitu seseorang menyamar sebagai anggota polis dan hubungi anda untuk menipu dan mencuri wang anda. Tetapi dia memang seorang polis.
Kami ke balai polis untuk mendapatkan cerita sebenar. Rupa-rupanya, salah seorang pelanggan lama kami menggunakan wang yang ditipu daripada orang lain untuk membeli Bitcoin berjumlah RM500.
Menurut polis, seorang wanita telah membeli pakaian dari platform e-dagang, Carousel dan telah memasukkan RM500 ke nombor akaun bank yang diberikan oleh penjual.
Tetapi pembeli itu tidak pernah menerima barang yang dibelinya dan dia membuat laporan polis. Akaun bank yang diberikan penjual itu adalah akaun syarikat saya. Jadi, sebagai pemilik syarikat, sayalah yang harus bertanggungjawab.
Kami periksa transaksi syarikat. Benar, kami telah terima RM500 yang dibayar oleh individu yang buat laporan polis tersebut. Tetapi pada masa itu, ada resit sebagai bukti pembayaran Bitcoin tersebut yang dijual kepada seorang lelaki.
Sebagai penjual, apa yang penting adalah pembayaran itu telah dibuat kepada saya, dan transaksi itu terpapar di akaun bank saya. Saya tidak pula periksa jika nama pemegang akaun individu yang membuat bayaran itu sepadan dengan nama pembeli Bitcoin. Saya ingat saya tidak perlu periksa sehingga begitu sekali.
Kami tunjukkan bukti itu kepada polis, tetapi mereka bertegas bahawa saya telah menipu perempuan berkenaan.
Saya ingat lagi saya telah bertanya banyak kali kepada polis, kenapa mereka tidak tutup sahaja kes itu memdangkan telah ada bukti yang cukup untuk menunjukkan saya bukanlah sebahagian daripada sindiket penipuan itu. Tetapi saya tidak pernah mendapat sebarang jawapan.
Mereka menahan saya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Mereka beritahu saya bahawa ia bukanlah perkara besar. “Mengaku salah sahaja,” kata pegawai polis itu kepada saya.
Saya tahu kalau saya mengaku bersalah, sabitan itu akan kekal dalam rekod sepanjang hidup saya. Kenapa saya nak buat begitu? Saya ambil keputusan untuk lawan di mahkamah.
Ditahan dalam sel
Di hari pendakwaan, saya diletakkan di dalam sel tahanan di mahkamah. Di situ, saya bersama tahanan-tahanan lelaki yang turut menunggu untuk didakwa, atau banduan yang menunggu untuk menghadiri perbicaraan mereka.
Beberapa lelaki asyik menatap saya. Saya perempuan muda yang tidak biasa dengan persekitaran sebegitu. Akhirnya, pengawal meletakkan satu kerusi di luar sel dan membenarkan saya duduk di situ.
Mereka meletakkan dakwat hitam pada tangan saya, ambil cap jari dan ambil gambar wajah saya. Saya dilanda ketakutan.
Saya di sana selama kira-kira sejam sementara menunggu untuk dibebaskan dengan jaminan. Jaminan ditetapkan beberapa ratus ribu ringgit, dan jika sabit kesalahan, saya berdepan dengan hukuman denda, atau lebih teruk lagi, penjara sehingga 10 tahun dan sebatan. Semuanya kerana RM500, yang saya perolehi tanpa menipu sesiapa pun.
Selepas itu, saya hadir ke mahkamah sebanyak dua kali lagi. Kali kedua adalah hari perbicaraan. Majistret kurang senang dengan kes saya dan berkata ia hanya membazirkan masa mahkamah.
Kali ketiga, saya diberikan pembebasan penuh. Pengalaman pahit itu menyebabkan saya terpaksa membayar RM15,000 untuk bayaran guaman.
Sejak itu, saya tidak pernah berkongsi nombor akaun bank saya lagi. Untuk perniagaan, sekarang kami gunakan gerbang pembayaran, jadi nombor akaun bank kami tidak dipaparkan.
Turut baca :
Leave a Reply