“InsyaAllah, nanti ada anak… dah tak lama tu”- Siapa lelaki tua yang makbul doanya itu?

Kisah ini berlaku pada bulan Februari 2014. Ketika itu lebih kurang pukul 8.00 malam, saya dan suami pergi ke ke pasar malam Maran, Pahang. Sambil berjalan mencuci mata, kami membeli beberapa juadah makanan. Lebih kurang pukul 9.00 malam, kami pulang ke rumah yang terletak di kampung Ulu Liut, Maran.

Lebih kurang lima minit memandu selepas meninggalkan pasar malam dan melalui jalan besar, tiba-tiba suami memperlahankan kenderaan. Ada sesuatu yang menarik perhatian kami. Melalui lampu kereta yang terang menyuluh, kami ternampak seorang lelaki tua berbaju kemeja dan berseluar slack sedang berjalan di bahu jalan.

Langkah lelaki tua itu perlahan sahaja. Bersamanya, dia membawa beberapa buah beg yang agak besar. Tidak silap saya, sebuah beg digalas di belakang dan dua buah beg besar lagi dijinjit dengan tangan kiri dan kanan.

Kasihan melihat lelaki itu, suami memberi isyarat ke kiri lalu berhenti di sebelah lelaki tersebut. Orangnya sederhana tinggi dan berkulit cerah. Wajahnya kelihatan tenang dengan janggut pendek melekat di dagu. Daripada raut wajahnya, saya anggarkan usia lelaki tua itu sekitar 70 tahun.

“InsyaAllah, nanti ada anak... dah tak lama tu”- Siapa lelaki tua yang makbul doanya itu?

“Nak ke mana ni pakcik?” tanya suami sebaik menurunkan cermin tingkap kereta.

Niat kami berhenti mahu membantu. Sebabnya melihat dia yang penuh dengan beg dan berjalan pula di dalam gelap, memang nampak seperti perlukan bantuan.

“Nak cari masjid. Nak tumpang tidur,” jawab lelaki tua tadi sambil tersenyum.

Suami kemudiannya mempelawa lelaki tua tadi masuk ke dalam kereta. Tanpa menolak, dia melangkah masuk ke kerusi penumpang belakang.

Waktu itu baru kami tahu lanjut. Cerita lelaki tua ini, dia sebenarnya seorang musafir. Dia ingin mencari masjid berdekatan untuk bermalam sebelum esoknya akan meneruskan perjalanan ke Johor. Katanya, dia mahu pergi ke rumah adiknya.

Tambahnya lagi, untuk ke rumah adiknya nanti dia akan menumpang mana-mana kenderaan yang sudi menumpangkannya ke arah sana.

“Sebenarnya pakcik dari mana?’ tanya suami lagi apabila kereta mula bergerak.

“Dari hospital. Baru keluar,” jawab lelaki tua tersebut.

“Pakcik lari hospital ke? Nanti kena tangkap polis,” tanya suami lagi apabila melihat keadaannya yang kurang terurus dengan beg yang banyak. Memang gayanya seperti lari dari rumah atau hospital.

“Eh, tak lah,” pantas lelaki itu menafikan dan menyambung, “Memang dah boleh keluar,” beritahunya.

Untuk meyakinkan kami lagi, lelaki tua tersebut membuka salah satu beg lalu menunjukkan isinya yang penuh dengan ubat-ubatan dari hospital.

Kami mengangguk-angguk. Suami pula terus memandu menuju ke masjid berdekatan iaitu Masjid Kampung Luit, Maran. Dalam perjalanan itu saya hulur sebotol air mineral untuk pakcik itu membasahkan tekak. Saya turut memberinya dua bungkus mi goreng yang dibeli di pasar malam tadi untuk lelaki tua tersebut mengisi perut.

“Anak berdua ni dah kahwin ke?” tiba-tiba lelaki tua itu menyoal kami pula.

Suami mengangguk, mengiakan.

“Dah lebih setahun kahwin,” tambah saya pula.

“Dah ada anak?” dia bertanya lagi.

“Belum. Tak ada rezeki lagi,” jawab saya dengan soalannya itu.

“InsyaAllah, nanti ada anak. Dah tak lama tu,” katanya mendoakan kami mendapat zuriat sambil tersenyum.

Sampai di masjid, kami turunkan lelaki tersebut. Kami turut turun sambil membantu membawa begnya ke ruang masjid. Apabila sudah meletakkan semua barangnya, timbul pula perasaan kasihan. Rasa tidak patut pula kami biarkan lelaki tua tersebut tidur di masjid.

“Tak pun pakcik ikut kami balik rumah. Tidur rumah kami. Esok, pagi-pagi saya hantar pakcik ke simpang jalan besar. Boleh pakcik tumpang lori atau van yang nak ke Johor,” pelawa suami sambil memberi cadangan.

Tapi orang tua itu menolak dengan baik. Katanya dia lebih selesa bermalam di masjid selain tidak mahu menyusahkan kami lagi. Sudah itu kemahuannya, kami tidak boleh mendesak. Kami tinggalkan orang tua tersebut untuk bermalam di masjid. Sebelum pulang, suami hulur sedikit duit sebagai belanja orang tua itu meneruskan perjalanannya ke Johor nanti.

Semasa kami meneruskan perjalanan ke rumah, baru saya sedar dengan keadaan pakcik tersebut. Bagi saya ada sedikit keanehan. Begini, walaupun keadaannya sedikit tidak terurus, bajunya basah dek peluh mungkin kerana sudah jauh berjalan, tapi langsung tidak berbau busuk. Berani saya katakan tubuhnya berbau wangi semerbak.

Jarang lelaki kalau kita jumpa bajunya basah dek peluh tapi tetap berbau wangi. Bukan saya saja, suami pun perasan akan keadaan itu.

Sampai di rumah mertua, apa yang berlaku saya ceritakan pada mak dan ayah mertua. Mulanya mereka kurang bersetuju jika kami mahu bawa balik sebab tidak mengenalinya. Namun apabila saya ceritakan semuanya termasuk bau wangi daripada lelaki tua itu, mereka mengesyorkan supaya esoknya suami menjemput lelaki itu datang ke rumah kami. Suami bersetuju.

Tetapi entah mengapa, malam itu ketika mahu tidur, saya dan suami sukar melelapkan mata. Kami masing-masing teringat akan lelaki tua yang dibantu tadi. Hati kami teringin sangat hendak melihat keadaannya lagi.

“Jom kita pergi tengok pakcik tu. Abang ingat nak bagi duit sikit lagi,” kata suami yang risau selain berniat untuk menghulur sedikit lagi sumbangan bagi membantu orang tua tersebut. Saya setuju.

Lewat malam itu, kami berdua keluar semula menuju ke masjid. Sampai di sana, kami lihat lelaki tua tersebut sedang berbaring di ruang luar masjid. Bukan dia sahaja, ada juga dalam dua atau tiga orang jemaah lain yang bermalam di masjid tersebut.

“Assalamualaikum, maaf ganggu lagi,” sapa suami pada orang tua itu yang tidak sedar kehadiran kami.

Dia yang sedang berbaring bingkas bangun, menyambut kedatangan kami sambil tersenyum. Selepas bertanya keadaannya, sekali lagi suami mempelawa orang tua itu bermalam di rumah kami. Pun sama, dia tetap menolak niat kami. Tidak mahu mengganggunya berehat, suami hulur sedikit duit tambahan sebagai belanja sebelum kami berdua beredar.

Keesokan paginya, lebih kurang pukul 6.00 pagi, sekali lagi saya dan suami sudah terpacak di masjid tersebut. Kami datang sebab mahu mengambil pakcik tersebut untuk dibawa balik ke rumah.

Namun puas mencarinya, kelibat orang tua itu langsung tak kelihatan. Begnya pun tiada di tempat dia berbaring semalam. Tak puas hati, suami tanya pada seorang jemaah yang sudah tiba masjid.

“Ada nampak tak orang tua tidur dekat masjid ni?”

Jemaah itu menggeleng kepalanya. “ Tak ada siapa tidur dekat masjid. Saya balik paling lewat dan saya sampai awal sebelum Subuh tadi. Memang tak ada sesiapa masa saya sampai,” ujarnya pada kami.

Mendengarnya kami sedikit tercengang. Ke mana pula lelaki tua tersebut pergi? Bagaimana pula jemaah di situ mengatakan tiada sesiapa yang tidur di masjid sedangkan kami menghantarnya ke situ dan kami sendiri melihat dia berbaring di ruang luar masjid malam semalam?

“Mungkin dah tumpang lori kut,” kata saya dengan harapan pakcik tersebut selamat dan sudah meneruskan perjalanannya ke Johor.

Namun apa yang mengejutkan saya ialah seminggu selepas kejadian tersebut. Saya terima satu berita gembira. Saya disahkan hamil.

Apabila tahu berita ini saya teringat semula perbualan saya dengan lelaki tua tersebut semasa di dalam kereta. Dengan yakin dia mengatakan yang tak lama lagi saya akan dapat zuriat. Ternyata apa yang dikatakannya itu benar.

Selepas kejadian itu saya tertanya-tanya, siapa lelaki tua tersebut sebenarnya? Manusia atau wali Allah? Bagaimana dia tahu saya akan hamil? Adakah kata-katanya itu sekadar kebetulan? Saya tidak pasti. Satu yang saya kesal, saya mahupun suami langsung tidak teringat untuk bertanyakan namanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*