KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat dakwaan berhubung kematian seorang pesakit lelaki yang dikatakan tidak mendapat rawatan yang tepat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Alor Setar, Kedah yang ditularkan di media sosial, Rabu lalu.
HSAH dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pihak pengurusan hospital telah memulakan siasatan berhubung kejadian pada Rabu dan memberi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat secara telus, mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“KKM mengambil maklum sebaran tular di media sosial pada Rabu lalu, berkenaan seorang pesakit yang dikatakan tidak mendapat rawatan yang tepat di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSAH, sehingga menyebabkan pesakit meninggal dunia.
“Perkara ini dianggap serius dan siasatan akan dijalankan untuk memastikan dakwaan tersebut, benar ataupun tidak. Hasil siasatan hanya akan dimaklumkan kepada waris pesakit bagi mengawal kerahsiaan maklumat,” katanya.
- Turut baca : {VIDEO} “Dia pikir macam naik bas ekspres?” Lelaki mengamuk tertinggal flight cuba malukan staf
Dalam kenyataan itu, HSAH turut memaklumkan pihak KKM juga tidak akan berkompromi sekiranya didapati berlaku kecuaian semasa pesakit mendapat rawatan di fasiliti itu.
“KKM ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan amat kesal dengan kejadian berkenaan. Menjadi keutamaan KKM untuk sentiasa memastikan keselamatan pesakit dan perkhidmatan pelanggan diberikan mengikut standard yang ditetapkan, tanpa mengabaikan hak pelanggan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran bertajuk ‘sakit jantung tapi bagi ubat gastrik, 5 jam kemudian beliau meninggal dunia!!’, di mana dikatakan seorang pesakit berusia 51 tahun telah dibawa ke hospital berkenaan kira-kira pukul 12.45 tengah malam setelah mengalami sesak nafas dan sakit dada.
Menurut hantaran itu, penolong pegawai perubatan hospital berkenaan yang melakukan pemeriksaan di wad kecemasan, didakwa memaklumkan pesakit tersebut mengalami gastrik dan diminta menunggu giliran untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun sehingga pukul 4.30 pagi, pesakit itu masih tidak dirawat.
Pada pukul 6 pagi, keadaan pesakit tersebut dikatakan tenat dan telah dibawa ke Zon Merah wad kecemasan itu, sebelum meninggal dunia pada pukul 6.31 pagi.
Leave a Reply