Piala Malaysia : Johor cuti 17 Dis sempena kemenangan JDT

Kerajaan Johor mengumumkan 17 Dis ini cuti khas peristiwa sempena kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali ke-10 dan Piala Malaysia semalam.

Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani berkata, cuti khas peristiwa itu juga sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada pihak terbabit serta rakyat Johor yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Selatan.

Katanya, sambutan bagi meraikan peristiwa bersejarah itu akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8.30 malam 16 Dis ini.

“JDT melakar sejarah gemilang bola sepak Johor apabila menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ke-10 berturut-turut. Ini suatu dekad dominasi kelab bola sepak JDT dalam kancah bola sepak negara.

“Menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan ini kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkan Ahad, 17 Dis sebagai hari cuti khas peristiwa bagi seluruh rakyat Johor

“Keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa ini selaras peruntukan kuasa di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, JDT mengalahkan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ini kali keempat JDT menjuarai Piala Malaysia selepas 2017, 2019 dan tahun lalu.

Kelab itu memahat sejarah menjadi pasukan pertama menyapu bersih semua piala, iaitu Piala Sumbangsih (Februari lalu), Piala FA (Julai lalu), Liga Super (September lalu) dan Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*