Trak yang membawa ubat-ubatan dan peralatan perubatan dari Jordan selamat tiba di gudang Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah pada petang Selasa, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).
Jordan menghantar enam trak bantuan melalui persimpangan Karama pada awal Selasa atas titah Raja Abdullah.
Bantuan itu dihantar ke gudang berkenaan sambil disaksikan Duta Jordan ke Ramallah, Issam Al-Bdour.
Menteri Kesihatan Palestin Mai Alkaila berkata bantuan itu bertujuan menyokong sektor kesihatan Palestin.
Katanya bantuan serupa turut tiba di Lapangan Terbang Al-Arish untuk diagihkan ke Semenanjung Gaza.
Kementerian Kesihatan Palestin kini berusaha membantu sektor kesihatan Gaza yang sebelum ini mengisytiharkan darurat disebabkan kekurangan ubat-ubatan, bekalan perubatan dan bahan api, kata Alkaila.
Sementara itu, Al-Bdour berkata bantuan itu adalah hasil kerjasama kerajaan Jordan dan Palestin demi memberi sokongan secara berterusan kepada Tebing Barat, manakala trak dan bantuan seterusnya akan menyusul.
Dia berkata, Jordan sedang menjalin kerjasama dengan rakan kongsi, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi kemanusiaan antarabangsa yang lain untuk memberi tekanan bagi memudahkan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat di Semenanjung Gaza.
Leave a Reply