{VIDEO} Dua geng ‘tow truck’ bergaduh berebut tunda kereta kemalangan

Lapan lelaki ditahan kerana disyaki bergaduh dalam urusan menunda kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, Cheras, awal pagi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai pergaduhan itu, kira-kira jam 1.37 pagi.

“Hasil siasatan awal, insiden berpunca daripada satu kes kemalangan kereta dan pergaduhan berlaku antara dua pihak untuk urusan menunda (towing) kenderaan terbabit.

“Dua kumpulan penunda kenderaan dipercayai berebut untuk menunda kereta yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata hasil siasatan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Cheras menahan lapan lelaki dalam beberapa siri tangkapan bermula jam 11.15 pagi.

Semua suspek adalah warga tempatan berusia antara 22 hingga 44 tahun.

Usaha sedang dijalankan untuk mengesan baki suspek.

Pada masa ini, katanya, jumlah dan identiti mereka sedang dikenalpasti melalui soal siasat ke atas lapan suspek yang ditangkap.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video menunjukkan insiden pergaduhan berkenaan di media sosial.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*