Anwar : Siasatan LCS mesti diteruskan

Anwar Ibrahim hari ini menegaskan siasatan berhubung isu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) mesti diteruskan kerana pendakwaan peringkat awal sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan.

Perdana Menteri berkata pendakwaan sebelum ini juga tidak bertindak kepada orang yang lebih utama dikatakan terlibat dalam isu perolehan LCS tersebut.

“Arahan saya, siasatan mesti diteruskan termasuk LCS kerana saya rasa tindakan sebelum ini tidak cukup untuk membongkar dan bertindak terhadap orang utama yang dikatakan terlibat dalam kes ini… jadi biar siasatan diteruskan,” katanya.

Ahli parlimen Tambun itu berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri mengenai keseriusan kerajaan dalam mengambil tindakan terhadap tata kelola yang tidak telus termasuk LCS.

Anwar berkata perkara itu telah disampaikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk tindakan lanjut dan badan berkenaan memaklumkan akan ada pendakwaan peringkat kedua.

Dia juga menegaskan arahannya kepada badan-badan penguatkuasaan termasuk SPRM adalah menyeluruh.

“Sebab itu ada ketua bahagian Umno Shah Alam yang didakwa tetapi tidak difokus. Maknanya sesiapa sahaja yang didapati oleh SPRM dan buktinya kukuh oleh Peguam Negara harus terima kenyataan pendakwaan,” katanya.

Urus melalui tender

Anwar turut mengulangi pendirian tidak akan campur tangan dalam sebarang kes pendakwaan di mahkamah melibatkan pemimpin tertentu termasuk mengurangkan atau mengetepikan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu Anwar turut mempersoal tohmahan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang yang mengaitkannya dengan pendakwaan tertentu.

“Kena ingat, sebagai Muslim bertanggungjawab, adakah anda yakin dan ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa? Kalau tak ada itu zalim jawabnya, guna nama agama dan fitnah orang, sebut nama saya.

“Saya tidak campur tangan, boleh tanya SPRM dan Peguam Negara, malah arahan daripada saya apa pun tindakan yang dilakukan mesti berdasarkan fakta dan bukti kuat, saya sokong. Tetapi jangan aniaya, jangan ada satu alasan yang longgar yang boleh dicabar dan dipertikai,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata jangan mudah menghukum dirinya kerana dia bukan seorang ahli politik murahan.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan mengambil beberapa langkah bagi menjamin tata kelola yang baik termasuk menghentikan semua kaedah perundingan terus sebaliknya diurus melalui tender.

Dia mengakui memang terdapat keperluan dalam negara untuk mengagihkan projek kepada kontraktor bumiputera, tetapi ia juga perlu melalui proses tender atau tender terhad selain peruntukan secukupnya kepada golongan yang memerlukan.

Anwar memaklumkan seramai 475 orang ketua pegawai digital dilantik bertindak sebagai peneraju pendigitalan di agensi kerajaan dalam usaha penambahbaikan tata kelola kerajaan dalam pendigitalan sektor awam.

Menurutnya, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) turut ditugaskan semula untuk memberi perhatian dari sudut perancangan dan pengurusan tadbir selain menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Cloud Framework Agreement (JPPCFA).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*