PM : Kerajaan akan pastikan golongan maha kaya juga bayar cukai

Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal percukaian membabitkan golongan ultrakaya, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menjawab soalan dikemukakan kepadanya di Dewan Rakyat, Anwar berkata pelaksanaan cukai barangan mewah dan cukai keuntungan modal adalah cara kerajaan untuk memastikan tiada sebarang kebocoran dalam pembayaran cukai golongan terbabit.

“Kita tak boleh bertolak ansur dan akan memastikan orang maha kaya juga membayar cukai. Jangan (mereka) melarikan wang mereka ke luar negara, dan ini (memang) berlaku.

“Sebab itu saya telah arahkan supaya semua siasatan dilakukan termasuk Pandora Papers, namun ada pihak yang mempertahankan (bahawa) orang yang melarikan cukai ini adalah kes lama

“Saya tak peduli lama atau baru, kalau kamu tipu atau rasuah atau curi wang negara, bayar balik,” katanya.

Ahli parlimen Tambun itu berkata demikian semasa menjawab soalan Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjung Karang) yang bertanya jika kerajaan bercadang memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Zulkafperi juga mahu tahu jika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan semula GST, bila ia akan dibuat.

Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, ketika ini kerajaan belum bersedia untuk mengembalikan pelaksanaan GST ekoran situasi semasa pendapatan orang ramai.

“Saya sudah sebutkan dari awal bahawa GST adalah sistem percukaian yang cekap dan telus, tetapi kita belum bersedia kerana pendapatan rakyat yang masih rendah.

“Justeru saya tidak fikir dalam tempoh enam bulan atau satu tahun ini kita boleh pertimbangkan,” katanya.

Anwar memperkenalkan cukai barangan mewah semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb lalu sebagai sebahagian usaha progresif kerajaan mengenakan cukai kepada golongan berada.

Kadar cukai barangan mewah itu tidak didedahkan, tetapi Anwar berkata akan ada silingnya berdasarkan jenis barangan seperti jam tangan mewah dan barangan fesyen.

Cukai Keuntungan Modal pula dikenakan ke atas penjualan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun depan.

Terdahulu, Anwar menjelaskan beberapa cara diambil kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada 3.2 peratus pada 2025.

Katanya kadar defisit fiskal tahun ini dijangka berkurangan berikutan pengurangan perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Menurut pengerusi PH itu lagi, pembayaran semula bon 1MDB pada tahun ini – sebanyak AS$3 bilion (RM13.5 bilion) akan menyebabkan defisit fiskal negara berkurangan kepada 4 peratus tahun depan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*